Jokowi puas hati, sifatkan lawatan ke Malaysia berjaya - Duta Indonesia
Bernama
Februari 7, 2015 16:00 MYT
Februari 7, 2015 16:00 MYT
Presiden Indonesia Joko Widodo sangat berpuas hati dengan hasil lawatan negara yang pertama beliau ke Malaysia sejak Khamis dan berakhir hari ini, demikian menurut Duta Indonesia di Malaysia, Herman Prayitno.
Presiden turut menyifatkan lawatan negara yang pertama ke Malaysia ini sebagai berjaya, katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas Joko atau lebih mesra dikenali Jokowi berlepas ke Brunei hari ini.
Herman berkata presiden Indonesia turut menghargai hospitaliti yang ditunjukkan pemimpin dan rakyat Malaysia sepanjang lawatan berkenaan.
"Lawatan negara (Presiden Jokowi) berjaya. Presiden sangat berpuas hati. Hospitaliti (pihak Malaysia) sangat bagus.
"Agenda (lawatan dan perbincangan) juga sesuai dengan harapan kedua-dua belah pihak. Terima kasih di atas hospitaliti pemimpin dan rakyat Malaysia," katanya.
Herman menambah, Indonesia sangat mengharapkan kegiatan sesi lawatan akan terus berjaya pada masa akan datang.
Melalui perbincangan yang menyentuh pelbagai isu termasuk persempadanan maritim, kerjasama maritim dan pendidikan anak-anak Indonesia di Malaysia, Indonesia harap tidak ada lagi hal-hal bersifat negatif yang mengganggu hubungan Malaysia-Indonesia, jelas beliau.
Jokowi berlepas ke Brunei hari ini untuk lawatan ke negara itu dan dijadual melawat Filipina pada Ahad.
Malaysia merupakan negara pertama yang dilawati Jokowi selepas mengangkat sumpah sebagai presiden pada 20 Okt tahun lepas.