Jokowi, Prabowo pilihan pelabur asing
Bernama
April 16, 2014 19:26 MYT
April 16, 2014 19:26 MYT
Bakal calon presiden, Joko Widodo atau Jokowi dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dan Ketua Umum Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Prabowo Subianto adalah dua tokoh yang menjadi pilihan pelabur asing sebagai presiden baharu Indonesia.
Penganalisis kanan ekonomi Bank Standard Chartered, Fauzi Ichsan berkata, kedua-dua tokoh itu menjadi sebutan bagi menggantikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, berdasarkan perbincangan dengan 20 pelabur asing di Singapura sebelum Pemilihan Umum (Pemilu) Parlimen Indonesia, 9 April lepas.
"Mereka menganggap, jika bukan Jokowi, alternatifnya adalah Prabowo. Jadi tokoh yang dilihat oleh pelabur hanya dua. Kalau tidak Jokowi, ia cuma Prabowo," katanya seperti dipetik akhbar Kompas, hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, pelabur agak kecewa dengan jumlah undi diperolehi PDI-P yang sekadar 19.77 peratus, walaupun mendahului 11 parti lain dalam pilihan raya umum lepas.
Ini kerana, Fauzi berkata, pelabur meramalkan PDI-P mampu memperoleh undi popular sehingga 27 peratus dan memudahkan Jokowi menjadi calon presiden tanpa perlu bergabung dengan parti lain.
"Ternyata jangkaan itu meleset. Tidak ada satu parti pun mendapat lebih daripada 20 peratus undi popular pada pusingan Parlimen.
"Ini bererti terdapat perpecahan politik di Parlimen. Pelabur khuatir kerjasama dengan banyak parti akan membuatkan dasar tidak efisien," katanya.
Mengikut sistem demokrasi Indonesia, sesebuah parti politik atau gabungan parti politik yang meraih 25 peratus undi popular atau memperoleh minimum 20 peratus kerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada Pemilu, layak mengemukakan pasangan calon untuk pemilihan jawatan Presiden dan Naib Presiden.
Pemilihan umum Presiden Indonesia akan diadakan pada 9 Julai depan.
Fauzi berkata, pelabur memerlukan sebuah kerajaan yang berkesan.
"Kerjasama banyak parti hanya akan mengundang kepentingan agenda politik masing-masing. Platform agenda pemerintah akan menjadi lebih kepada tolak-ansur," katanya.