Jokowi pelawa Elon Musk tinjau potensi tapak pelancaran SpaceX di Indonesia
Agensi
Disember 12, 2020 18:54 MYT
Disember 12, 2020 18:54 MYT
JAKARTA: Indonesia telah mempelawa SpaceX untuk melihat kemungkinan membangunkan tapak pelancaran roket di negara itu, lapor kenyataan dari pihak kementerian republik berkenaan.
Portal berita CNN Indonesia melaporkan, Presiden Joko Widodo (Jokowi) telah membincangkan idea itu dengan pengasas syarikat pengangkutan aeroangkara, SpaceX, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, menerusi satu panggilan telefon pada Jumaat (11 Disember).
Menurut penyelaras Kementerian Maritim dan Hal Ehwal Pelabuan Indonesia, Musk berhasrat menghantar sebuah pasukan ke Indonesia pada Januari depan untuk mengkaji peluang kerjasama berkenaan.
Indonesia sebelum ini sudahpun mengadakan perbincangan dengan Musk tentang potensi pelaburan di negara itu, termasuk dalam bidang industri kenderaan elektrik.
Tesla Inc dilaporkan bakal meninjau kemungkinan membina infrastruktur di Jawa Tengah, kata Menteri Industri, Agus Gumiwang Kartasasmita pada Oktober lalu.
Indonesia, yang kaya sumber hasil bumi seperti tembaga, nikel dan timah terbesar di dunia, sedang cuba mempromosi komoditinya demi meraih pelaburan bernilai berbilion-bilion dolar.