Jokowi namakan Pejabat Presiden di Nusantara sebagai Istana Garuda
Bernama
Julai 29, 2024 15:40 MYT
Julai 29, 2024 15:40 MYT
JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) telah menamakan bangunan Pejabat Presiden di Ibu Kota Nusantara (IKN), Penajam Paser Utara (PPU) sebagai Istana Garuda, manakala Istana Presiden di IKN akan dikenali sebagai Istana Negara.
Pengumuman itu dibuat oleh Pemangku Ketua Lembaga IKN, Basuki Hadimuldjono selepas menghadiri mesyuarat dalaman dengan Jokowi di Istana Garuda IKN pada Isnin, lapor Agensi Berita ANTARA.
"Beliau menyatakan, ini Istana Garuda, bukan lagi Pejabat Presiden tetapi ia dinamakan Istana Garuda. Yang di bawah ialah Istana Negara," kata Basuki pada sidang media di lobi Istana Garuda.
Istana Negara IKN merupakan bangunan megah yang berfungsi sebagai kediaman rasmi Presiden Indonesia. Ia terletak di Kawasan Teras Kerajaan Pusat (KIPP) IKN, di daerah Penajam Paser Utara (PPU).
Istana Garuda pula terletak betul-betul di belakang Istana Negara di atas sebidang tanah yang lebih tinggi. Bangunan itu berfungsi sebagai pejabat Presiden.
Basuki yang juga Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat (PUPR) Indonesia berkata nama-nama istana itu adalah rasmi dan dikenali orang ramai.
-- BERNAMA