Jokowi minta rakyat tidak lakukan demonstrasi susulan

Bernama
November 11, 2016 18:46 MYT
Ratusan ribu umat Islam telah berhimpun dan menganjurkan demonstrasi pada 4 Nov lalu bagi membantah kenyataan Gabenor Jakarta. - Foto AFP / GOH CHAI HIN
Presiden Joko Widodo hari ini meminta pihak penganjur demonstrasi membantah Ahok atau nama sebenarnya Basuki Tjahaja Purnama supaya tidak mengadakan perhimpunan susulan yang diuar-uarkan kononnya akan berlaku pada 25 Nov depan.
Presiden Republik Indonesia yang lebih dikenali dengan panggilan Jokowi itu berkata mana-mana pihak tidak perlu menganjurkan lagi demonstrasi bagi tujuan membantah penyandang Gabenor Jakarta itu kerana polis telahpun memulakan siasatan terhadapnya berkaitan kes penistaan agama.
"Kita mengharapkan agar sudah tidak ada demo-demo lagi," katanya seperti yang dipetik media dalam talian selepas melawat Markas Pasukan Khas Polis Mobil (Mobile Brigade) di sini hari ini.
Beliau berkata bagaimanapun pasukan pihak berkuasa dan keselamatan telah diarah untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan ekoran terdapat ura-ura kononnya ratusan umat Islam akan kembali berhimpun dan mengadakan demonstrasi susulan pada Jumaat depan.
Jokowi sebelum ini mengunjungi markas tentera dan polis serta mengadakan perjumpaan dengan dua pertubuhan Islam terbesar iaitu Muhammadiyah dan Nahdatul Ulama bagi membincangkan isu-isu berkaitan insiden demonstrasi pada 4 Nov lepas.
Ahok ketika bertemu pengundi di Pulau Seribu pada September lepas didakwa telah meminta umat Islam supaya tidak terpedaya dengan pihak menggunakan Surah Al Maidah dalam Al-Quran yang melarang umat Islam memilih golongan bukan Islam menjadi pemimpin mereka.
Kenyataan itu telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh Indonesia dengan menganjurkan demonstrasi di wilayah masing-masing dan pada 4 Nov lepas, ratusan ribu umat Islam telah berhimpun dan menganjurkan demonstrasi bagi mendesak agar Ahok dikenakan tindakan undang-undang kerana disifatkan sebagai penista agama.
Bagaimanapun perhimpunan itu berakhir dengan kekecohan apabila para peserta enggan bersurai sehingga malam dan cuba menghampiri Istana Kepresidenan.
Pasukan keselamatan terpaksa menggunakan tembakan meriam air dan gas pemedih mata untuk meminta mereka bersurai dan tindakan itu menyebabkan segelintir peserta melawan dengan melontarkan pelbagai objek dan membakar dua buah trak pasukan keselamatan.
Ahok adalah satu-satunya calon bukan beragama Islam dan dicabar oleh dua calon lain iaitu Anies Baswedan dan Agus Harimurti Yudhoyono bagi merebut jawatan Gabenor Jakarta pada Pilihan raya Ketua Daerah (Pilkada) Februari tahun depan.
Bagaimanapun sehari selepas demonstrasi itu, Ahok mendakwa beliau telah difitnah kerana rakaman video ucapannya yang tersebar luas itu telah diubah suai dan dipotong bagi menimbulkan kontroversi.
Bahagian Siasatan Jenayah Polis Republik Indonesia pada Isnin lepas telah memanggil Ahok dan diikuti dengan beberapa individu lain termasuk penyebar rakaman video ucapan Ahok yang dikenali sebagai Buni Yani bagi membantu siasatan. -- Bernama
#ahok #demonstrasi #Gabenor Jakarta #Joko Widodo #Jokowi #Presiden Indonesia #tunjuk perasaan
;