Jokowi, menteri Kabinet luang masa di kafe berhampiran Istana Garuda
Agensi
Oktober 6, 2024 17:58 MYT
Oktober 6, 2024 17:58 MYT
KALIMANTAN TIMUR: Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) menjemput beberapa menteri Kabinetnya meluangkan masa santai menikmati kopi di sebuah kedai di Istana Garuda, Ibu Kota Nusantara (IKN), Kalimantan Timur pada Sabtu.
Perkara ini dikongsi oleh pengguna media sosial, TikTok @rajajuliantoni.
"Malam minggu sambil minum kopi dan menikmati pemandangan Istana Garuda pada waktu malam dari Kafe Excelso Nusantara bersama Presiden Jokowi, Menteri Setiausaha Kerajaan, Pak Pratikno, Menteri Kerja Raya, Pak Basuki Hadimuljono dan juga Menteri Belia dan Sukan, Pak Dito Ariotedjo," katanya.
Sebelum itu, Jokowi tiba di lokasi sekitar pukul 20.55 waktu tempatan memakai baju lengan panjang berwarna kelabu.
Setelah bertegur sapa antara satu sama lain, kumpulan menteri itu kemudiannya meneruskan perbincangan santai.
Sementara itu, kehadiran Presiden Jokowi dan barisan menteri di kedai kopi ini adalah sebahagian daripada agenda Nusantara TNI Fun Run 2024 pada Ahad.
Jokowi sebelum ini dilaporkan akan mula bertugas di IKN selama 40 hari bermula 10 September sehingga 19 Oktober ini.
Beliau selepas itu akan digantikan dengan Prabowo Subianto, yang menang Pilihan Raya Presiden Indonesia dan mengangkat sumpah jawatan pada 20 Oktober.