Jokowi mempertahankan hukuman mati dalam memerangi dadah

Astro Awani
Januari 18, 2015 13:50 MYT
Wakil dari kedutaan Brazil meninggalkan penjara Nusakambangan selepas hukuman mati itu dilaksanakan ke atas pesalah. - Foto AFP/Dida Nuswantara
Indonesia tidak akan berkompromi dengan pelaku, pengedar dan sindiket dadah.
Peguam Negara Indonesia, Muhammad Prasetyo memberitahu hukuman mati yang dilaksanakan ke atas enam pengedar bahan terlarang itu pada Sabtu, adalah bukti kesungguhan kerajaan memerangi dadah.
Kenyataan dibuat Muhammad bagi menjawab kritikan komuniti antarabangsa terhadap pelaksanaan hukuman mati itu.
Enam pengedar dadah terbabit terdiri daripada empat lelaki, masing-masing warga Belanda, Brazil, Malawi dan Nigeria.
Manakala dua wanita masing-masing dari Indonesia dan Vietnam.
Hukuman itu dilaksanakan skuad menembak pada tengah malam Sabtu di penjara dekat Pulau Nusakambangan, Jawa Tengah.
Hukuman tembak sampai mati bagi dua wanita itu dijalankan di Boyolali, juga di wilayah Jawa Tengah.
Mayat mereka kemudiannya dibawa ke Pelabuhan Wijayapura di Cilacap untuk dituntut ahli keluarga atau kedutaan negara masing-masing.
Hukuman itu dilaksanakan setelah Presiden Joko Widodo menolak rayuan akhir yang dikemukakan Presiden Brazil dan Kerajaan Belanda.
Tindakan itu mengakibatkan Belanda memanggil pulang sementara dutanya sebagai protes hukuman itu.
Belanda menyifatkan pelaksanaan hukuman itu sebagai "kejam dan tidak berperikemanusiaan serta menafikan hak dan maruah kemanusiaan.
#Dadah #hukuman mati #Indoneisa #kompromi #Muhammad Prasetyo #pelaku #pengedar #sindiket