Jokowi mahu pembangunan di kawasan bencana dikawal

Bernama
Mac 2, 2023 10:53 MYT
Jokowi berkata, Indonesia berada dalam tiga negara teratas paling terdedah kepada bencana di dunia. - Foto Youtube/Sekretariat Presiden
JAKARTA: Presiden Joko Widodo hari ini menegur badan perancangan daerah supaya perlu mengawal pembinaan penempatan dan bangunan di kawasan pinggir sungai yang sering dilanda bencana banjir.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Jokowi turut mahu badan itu menyelia, mengawal dan memantau setiap perancangan pembangunan serta mengenal pasti risiko bencana di kawasan masing-masing.
Kawasan yang tidak boleh dibangunkan perlu ditetapkan dengan jelas, seperti kawasan di Palu, Sulawesi Tengah yang akan dilanda gempa bumi dan tsunami setiap 20 atau 50 tahun.
Katanya, kawasan yang kerap dilanda bencana seperti banjir dan tanah runtuh masih diberi permit untuk pembinaan bangunan.
"Walaupun telah jelas ada kawasan sungai yang banjir setiap tahun, pembangunan baharu terus rancak didirikan di situ dan dibiarkan," katanya dalam ucapan sempena mesyuarat Bencana Negara, di sini.
Menurutnya, Indonesia berada dalam tiga negara teratas paling terdedah kepada bencana di dunia, susulan perubahan iklim yang menyebabkan kekerapan bencana alam meningkat secara drastik.
Tahun lalu, kekerapan bencana di negara ini melonjak kepada 3,544 bencana daripada 1,945 bencana pada 2010 termasuk banjir, letusan gunung berapi, tanah runtuh dan gempa bumi.
Bulan lepas, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) turut diminta meningkatkan keupayaan dengan peralatan moden untuk melancarkan operasi dan melindungi anggota bertugas.
Robot ular atau snake robot yang mampu menembusi ruangan sempit dan dron penyelamat bagi pemindahan mangsa perlu dimiliki badan itu.
Lain-lain termasuk, robot bawah air untuk kedalaman lebih satu kilometer dan pakaian jet seakan Iron Man yang boleh mencapai ketinggian 3,600 meter, kata Jokowi.
-- BERNAMA
#banjir #gempa bumi #tanah runtuh #tsunami