Jokowi lawat kawasan pembangunan Nusantara, bermalam dalam khemah
Agensi
Mac 14, 2022 15:08 MYT
Mac 14, 2022 15:08 MYT
JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dijadual menginap di lokasi pembangunan ibu negara baharu, Nusantara bersama beberapa pegawai atasan, pada Selasa (15 Mac) dengan bermalam di dalam khemah.
Kompas.com yang memetik Ketua Sekretariat Presiden, Heru Budi Hartono, melaporkan, lawatan Jokowi ke lokasi itu turut disertai Panglima Tentera Daerah Mulawarman, Teguh Pujo Rumekso dan Ketua Polis Daerah Kalimantan Timur, Imam Sugianto.
“Kami menginap di IKN ini tentunya dalam keadaan seadanya, dan untuk Presiden, kami siapkan khemah sederhana. Namun, tentunya aspek keselamatan beliau dijaga,” kata Heru menerusi sidang media di saluran YouTube Sekretariat Presiden, pada Ahad.
Heru menjelaskan, Jokowi akan berangkat dari Balikpapan menuju lokasi ibu negara baharu itu menerusi jalan darat dan sesampai di lokasi, beliau akan disertai 34 gabenor dalam sebuah majlis.
"Tentunya kita sebagai orang timur akan (memulakan dengan) berdoa, dan menjunjung tinggi kearifan tempatan. Ini adalah projek yang cukup besar dan semua elemen masyarakat diminta menyokong dan berdoa," ujar Heru.
Selepas bermalam di khemah yang disediakan, Jokowi pada hari berikutnya dijadual mengunjungi beberapa lokasi penting. Sepanjang berlangsungnya acara dan pergerakan beliau, difahamkan terdapat lebih 2,000 pegawai dan anggota dari tentera, polis dan pemerintah daerah akan terlibat dalam aspek pelaksanaan atur cara, logistik dan keselamatan.
Sementara itu, Komandan Pasukan Pengamanan Presiden, Tri Budi Utomo akan memastikan keamanan di lokasi Jokowi bermalam, termasuk melakukan penyemburan asap untuk pencegahan malaria, menabur garam untuk menghindar haiwan melata dan bersiap sedia dengan antibisa ular.