Jokowi kenang tempoh jadi presiden selama sedekad dalam ucapan terakhir negara

Bernama
Ogos 16, 2024 18:45 MYT
Jokowi melaporkan kemajuan ekonomi, dengan inflasi dikekalkan antara dua hingga tiga peratus, kemiskinan tegar berkurangan daripada 6.1 peratus kepada 0.8 peratus dan kadar bantut menurun daripada 37.2 peratus kepada 21.5 peratus. - Gambar/ X Jokowi
JAKARTA: Dalam ucapan terakhir Presiden Joko Widodo pada Jumaat, menandakan ulang tahun ke-79 kemerdekaan Indonesia, beliau mengenang kembali tempoh kepimpinannya selama sedekad serta tempoh lima tahun Naib Presiden Prof KH Ma'ruf Amin.
Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi mengulas pencapaian sepanjang tempoh perkhidmatannya, termasuk pembinaan 366,000 kilometer jalan kampung, 1.9 juta meter jambatan kampung, 2,700 kilometer jalan tol baharu, 50 pelabuhan dan lapangan terbang baharu, 43 empangan dan 1.1 juta hektar terusan pengairan baharu.
"Dengan perkembangan ini, kami berjaya menurunkan kos logistik daripada 24 peratus kepada 14 peratus pada 2023. Kami berjaya meningkatkan daya saing negara kami daripada kedudukan 44 kepada kedudukan ke-27 pada 2024," katanya pada sesi tahunan Dewan Perundingan Rakyat dan sesi bersama Dewan Rakyat di parlimen.
Jokowi melaporkan kemajuan ekonomi, dengan inflasi dikekalkan antara dua hingga tiga peratus, kemiskinan tegar berkurangan daripada 6.1 peratus kepada 0.8 peratus dan kadar bantut menurun daripada 37.2 peratus kepada 21.5 peratus.
Beliau memuji program kebajikan sosial kerana membantu berjuta-juta rakyat dengan insurans kesihatan dan pendidikan dan menekankan kemajuan dalam pemprosesan bahan mentah domestik, pengurusan sumber dan tenaga hijau.
Beliau juga menyatakan pembaharuan perundangan, termasuk Kanun Jenayah baharu dan undang-undang yang menangani keganasan seksual.
"Kita harus bersyukur kerana selepas 79 tahun merdeka, kita akhirnya mempunyai Kanun Jenayah baharu sebagai usaha memodenkan sistem perundangan Indonesia serta Undang-Undang Penciptaan Pekerjaan yang menyemak semula 80 undang-undang dan 1,200 artikel sebagai usaha untuk menyahkawal selia peraturan yang bertindih," katanya.
Jokowi juga mengakui cabaran dan kekurangan sepanjang 10 tahun pentadbirannya serta memohon maaf atas sebarang jangkaan yang tidak dipenuhi.
"Sepuluh tahun bukanlah tempoh yang panjang untuk menyelesaikan semua masalah negara kita. Mungkin saya telah melakukan kesilapan dalam beberapa langkah yang saya ambil dan kemungkinan besar saya melakukan banyak kesilapan," katanya.
Beliau melahirkan keyakinan terhadap masa depan negara di bawah Presiden terpilih Prabowo Subianto, yang akan memegang jawatan pada 20 Okt 2024 serta berharap kejayaan dan bimbingan berterusan untuk Indonesia melangkah ke hadapan bagi mencapai visi Indonesia Emas 2045.
-- BERNAMA
#Joko Widodo #Jokowi #ucapan terakhir negara #tempoh kepimpinan #tempoh pentadbiran