Jokowi kemuka empat cadangan tamatkan krisis Gaza
Bernama
November 12, 2023 14:23 MYT
November 12, 2023 14:23 MYT
JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo mengemukakan empat cadangan untuk menangani krisis di Gaza iaitu gencatan senjata segera, mempercepat bantuan kemanusiaan, mempertanggungjawabkan Israel ke atas kekejaman yang dilakukan dan menyokong penyelesaian dua negara dengan menyambung semula rundingan damai.
Bercakap pada sidang kemuncak tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai pencerobohan Israel di Palestin di Riyadh, pada Sabtu, presiden yang juga dikenali sebagai Jokowi itu menekankan mengenai kepentingan gencatan senjata.
"Tanpa gencatan senjata, keadaan tidak akan reda. Israel menggunakan naratif 'mempertahankan diri' dan terus melakukan pembunuhan terhadap penduduk awam. Ini satu bentuk hukuman kolektif. Kita semua mesti mencari jalan agar Israel segera melaksanakan gencatan senjata," kata beliau.
Memandangkan situasi kemanusiaan yang kian meruncing di Gaza, Jokowi menggesa mempercepat bantuan kemanusiaan dan mencadangkan agar OIC membentuk mekanisme bantuan yang lebih mudah dan mampan.
"Sebagai contoh, Hospital Indonesia di utara Gaza yang terus menjadi sasaran serangan Israel kini kehabisan bahan api sejak semalam. Indonesia minta semua pihak menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa," katanya.
Beliau turut menggesa OIC menggunakan apa jua cara untuk mempertanggungjawabkan Israel ke atas kezaliman yang dilakukan.
Sebagai contoh, beliau menyeru Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki yang ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diberikan akses untuk melaksanakan mandatnya dan terus menyokong proses pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Jokowi turut menekankan mengenai keperluan mendesak untuk meneruskan semula rundingan damai penyelesaian dua negara.
Sekiranya mekanisme sedia ada terbukti gagal membuahkan hasil, beliau menggalakkan OIC mengadakan proses rundingan baharu dan Indonesia bersedia untuk menyumbang.
Beliau juga menyeru OIC untuk bersatu dan memainkan peranan penting untuk menyelesaikan krisis di Palestin dan menghasilkan tindakan konkrit bagi menoktahkan segera kekejaman Israel di Gaza.
"OIC mesti bersatu, mesti berada di barisan depan dengan menggunakan semua cara, semua pengaruh, dan semua usaha diplomatik untuk memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan untuk Palestin.
"Sebulan berlalu, dunia dilihat seakan tidak berdaya dalam menghadapi kezaliman itu. Dengan lebih 7.9 bilion penduduk dunia, lebih 190 pemimpin dunia, namun tidak ada yang dapat menghentikan kekejaman itu," tambahnya.
Jokowi mahu pemimpin OIC menyampaikan ketetapan sidang itu kepada Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada pertemuan sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di San Francisco.
Sempena sidang kemuncak tergempar itu, beliau turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Raja Jordan Raja Abdullah II bin Al-Hussein.
Dalam pertemuan dengan Mahmoud Abbas, Jokowi mengulangi komitmen teguh Indonesia untuk terus menyokong Palestin, sambil mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Israel terhadap Palestin.
Jokowi berkata hakikatnya tiada sebarang alasan untuk mewajarkan pembunuhan beramai-ramai dan mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka.
-- BERNAMA