Jokowi ke Abu Dhabi untuk perbincangan dengan Presiden UAE mengenai kerjasama
Bernama
Julai 16, 2024 17:36 MYT
Julai 16, 2024 17:36 MYT
JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) berangkat ke Abu Dhabi pada Selasa untuk bertemu dengan Presiden UAE, Muhammad bin Zayed Al Nahyan (MBZ) dan membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.
"Pada Selasa, rombongan saya dan saya akan melawat Abu Dhabi, UAE," kata Jokowi dalam kenyataan akhbar di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta, pada Selasa sebelum berangkat.
Presiden Jokowi dijadual bertemu rakan sejawatannya dari UAE pada 17 Julai, lapor agensi berita ANTARA.
"Pada pertemuan itu, kami akan membincangkan antara lain, pelbagai usaha untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan pelaburan strategik," katanya.
Dalam pertemuan itu, Presiden Jokowi juga akan membincangkan mengenai ibu kota baharu (IKN Nusantara) dengan Presiden MBZ.
Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan majlis menandatangani MoU perniagaan antara usahawan dari kedua-dua negara.
Jokowi menyatakan bahawa dalam dekad yang lepas, hubungan antara Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu telah berkembang pesat, terutamanya dalam bidang ekonomi dan pelaburan.
Menurut presiden, UAE adalah satu daripada rakan utama Indonesia dan rakan strategik di Timur Tengah serta negara Timur Tengah pertama yang mempunyai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) dengan Indonesia.
"Kerjasama kami, antara lain tertumpu pada kerjasama dalam sektor tenaga bersih, seperti kerjasama tenaga suria di Empangan Cirata," katanya.
Loji kuasa solar terapung di Cirata adalah yang terbesar di Asia Tenggara, dengan kapasiti 192 megawatt puncak (MWp), yang dikendalikan di bawah kerjasama antara sub-holding syarikat elektrik milik negara PT PLN Nusantara Power (PLN NP) dan syarikat tenaga boleh diperbaharui UAE.
Selain itu, presiden berkata kerajaan baharu Indonesia akan terus melaksanakan kerjasama yang telah ditetapkan dengan UAE.
Jokowi akan kembali ke Indonesia selepas bertemu dengan Presiden MBZ, Rabu.
-- BERNAMA