Jokowi janji dukung industri filem Indonesia

Astro Awani
Disember 7, 2014 08:47 MYT
JOKOWI: Nanti ingat-ingat. Tahun depan kalau dukungannya tidak total, tolong saya dibisiki. Benar, ini serius. - Sumber foto Twitter @PialaCitra2014
Presiden Indonesia, Joko Widodo berjanji pentadbirannya akan memberikan dukungan yang tinggi kepada industri perfileman republik itu kerana potensinya untuk jadi kekuatan kepada ekonomi kreatif Indonesia, selain kerana ia mencerminkan keperibadian bangsa.
Dalam ucapan ringkas pada Festival Filem Indonesia 2014 di Palembang malam tadi, Jokowi berkata beliau sudah "bisik-bisik" kepada Menteri Pelancongan, Arief Yahya untuk memberikan dukungan yang penuh itu.
Jelas Jokowi, kalau dukungan itu nanti tidak penuh seperti yang beliau janjikan, beliau mahu karyawan filem memaklumkan hal itu terus kepadanya.
"Nanti ingat-ingat. Tahun depan kalau dukungannya tidak total, tolong saya dibisiki. Benar, ini serius," katanya.
Kenyataan Jokowi itu disambut dengan tepukan dan sorakan gemuruh oleh penggiat industri filem pada acara tersebut. Ini adalah kali pertama seorang presiden republik itu hadir dalam festival tahunan tersebut.
"Saya terus terang bangga sekali berada bersama insan perfileman (Indonesia)," katanya.
'Jokowi ke pawagam'
Menurut Jokowi, beliau sering menonton filem Indonesia di pawagam, dan beliau menyebut judul beberapa buah filem yang diingatinya.
"Jangan kaget. Presiden Jokowi senang menonton filem Indonesia. Kalau tidak percaya, silakan sering menonton jam 9, jam 11, pasti ketemu saya… (tepatnya) malam minggu," tambahnya.
Dalam ucapannya, Jokowi turut mengajak seluruh rakyat republik itu untuk mencintai filem Indonesia kerana "karya-karya perfileman kita adalah wajah kita sebagai bangsa".
"Semoga perfileman Indonesia semakin dicintai oleh bangsanya sendiri, oleh rakyatnya sendiri dan digemari di negara-negara yang lain," katanya.
Sebelum ucapannya, Jokowi menyampaikan anugerah filem terbaik yang dimenangi oleh Cahaya dari Timur: Beta Maluku arahan pengarah muda, Angga Dwimas Sasonko. Pelakon utamanya, Chico Jericho juga dinamakan sebagai pelakon lelaki terbaik.
Dalam ucapannya, Jokowi sekali lagi mengulangi kesungguhan hasrat pentadbirannya mahu meningkatkan pencapaian ekonomi kreatif melalui pembentukan sebuah badan khas yang bertanggungjawab terus kepada pejabat beliau.
"Dalam satu bulan ini akan terus diproses terbentuknya Badan Ekonomi Kreatif. Badan ini akan langsung di bawah Presiden," katanya.
'Kerja budaya'
Jokowi menggariskan tiga perkara mengenai perfileman yang akan ditangani oleh badan itu iaitu menyatukan seluruh aset dan potensi kreatif untuk mencapai industri perfileman yang mandiri, mendorong inovasi dalam bidang kreatif serta membangunkan kesedaran dan apresiasi terhadap harta intelek termasuk perlindungan undang-undang.
Sementara itu, menulis di laman Facebook peribadinya sebelum majlis anugerah itu bermula, Jokowi berkata filem adalah kerja budaya dan sejarah kesenian sebuah bangsa.
Beliau berharap Indonesia mempunyai filem yang mampu memberikan kesedaran tentang masalah bangsa dan masyarakat.
"Semoga filem Indonesia tidak terpisah dari persoalan-persoalan bangsa dan masyarakat. Tidak mengasingkan generasi mudanya terhadap sejarah dan realiti kekinian bangsanya," tulis Jokowi.
#ekonomi #Festival Filem Indonesia #Indonesia #industri #Joko Widodo #Palembang #perfileman
;