Jokowi gugurkan Menteri Tenaga yang baru dilantik 20 hari
Bernama
Ogos 16, 2016 19:27 MYT
Ogos 16, 2016 19:27 MYT
Presiden Joko Widodo menggugurkan Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral (ESDM) Arcandra Tahar yang baru dilantiknya 20 hari lepas setelah menteri itu didapati mempunyai kewarganegaraan Amerika Syarikat.
Media tempatan hari ini memetik Menteri Sekretaris Negara, Pratikno sebagai berkata keputusan untuk mengugurkan Arcandra dibuat pada petang semalam setelah mengesahkan menteri itu mempunyai dua kewarganegaraan sejak tahun 2012.
Arcandra adalah antara enam menteri baharu yang dilantik dalam rombakan Kabinet pada 27 Julai lepas.
Menurut Undang-undang 12/2006 mengenai Kewarganegaraan, Indonesia tidak mengamalkan sistem dua kewarganegaraan dan mana-mana warganegaranya yang mengangkat sumpah atau berpindah kewarganegaraan, secara automatik kehilangan status warganegara Indonesianya.
Arcandra, 46, berkelulusan Ijazah Kedoktoran dalam Kejuteraan Laut, berhijrah ke Amerika Syarikat beberapa tahun lepas dan bekerja sebagai Presiden sebuah syarikat kejuteraan gas dan minyak di Houston.
Pratikno berkata jawatan menteri itu kini dipangku oleh Menteri Koodinator Maritim Luhut Binsar Pandjaitan sehingga pelantikan baharu dibuat.