Jokowi diumum pemenang Pilihan Raya Presiden Indonesia

Agensi
Mei 20, 2019 06:10 MYT
Meskipun kemenangan selesa dicatatkan Jokowi, ia berkemungkinan dicabar Prabowo yang mendakwa berlaku penipuan sepanjang pilihan raya berlangsung. - Foto fail/FACEBOOK
Penyandang jawatan, Joko Widodo (Jokowi) diumumkan pemenang Pilihan Raya Presiden Indonesia awal pagi ini dengan mendapat 55.5 peratus undi mengatasi pesaingnya Jeneral Prabowo Subianto yang mendapat 45 peratus undi.
Keputusan rasmi itu dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) awal pagi Selasa yang turut mengesahkan keputusan tidak rasmi sebelum ini dalam pilihan raya yang berlangsung pada 17 April lepas.
Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada pukul 1.46 pagi ini (waktu Indonesia Barat) mengumumkan keputusan Pilihan Raya Presiden 2019 (Pilpres 2019), sehari lebih awal, selepas proses pengiraan undi di 813,350 Tempat Pembuangan Suara atau pusat pengundian, selesai 11.30 malam, Isnin.
Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma'ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala pencabarnya, Prabowo Subianto, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.
Meskipun kemenangan selesa dicatatkan Jokowi, ia berkemungkinan dicabar Prabowo yang mendakwa berlaku penipuan sepanjang pilihan raya berlangsung.
Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan kem Probowo sehingga kini.
Sebuah agensi pemantau pilihan raya, pada Isnin menyangkal berlakunya penipuan secara sistemetik sepanjang perjalanan pilihan raya kerana tiada bukti kukuh dikemukakan.
Pemerhati dan penganalisis pilihan raya juga berkata proses pengundian berjalan secara bebas dan adil.
Majoriti 16.95 juta yang diperolehi Jokowi itu lebih tinggi berbanding Pilpres 2014 iaitu 6.4 juta undi.
Jokowi memenangi Pilpres 2014, ketika itu berpasangan dengan Jusuf Kalla mengalahkan Prabowo yang berpasangan dengan Hatta Rajasa.
Ketua KPU Arief Budiman meminta pihak yang tidak berpuas hati agar memfailkan petisyen mencabar keputusan itu di Mahkamah Konstitusi.
"Perlu difailkan dalam tempoh tiga hari selepas pengumuman ini, jika tiada, kami akan mengumumkan kemenangan mutlak kepada calon yang menang ini.
"Jika ada, kami perlu menunggu proses pengadilan Mahkamah Konstitusi selesai. Majlis mengangkat sumpah Presiden Indonesia untuk tempoh 2019-2024 dijadual pada 20 Okt 2019," katanya.
#Indonesia #Joko Widodo #Jokowi #pilihan raya #Pilpres #Pilpres 2019 #Prabowo Subianto #presiden
;