Jokowi dikritik pemimpin tempatan, digesa buat sekatan penuh

Agensi
Jun 21, 2021 22:53 MYT
Meskipun berdepan dengan peningkatan kes secara mendadak, Presiden Indonesia, Joko Widodo belum bercadang untuk melakukan sekatan penuh. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi berdepan kritikan dalam kalangan pemimpin tempatan setelah pelan sekatan mikro COVID-19 yang diperkenalkannya gagal mencapai matlamat.
Memetik laporan BH Online, antara yang menyuarakan kritikan termasuk Gabenor Yogyakarta, Hamengkubuwono X atau digelar Sultan Yogyakarta, yang mahu langkah tegas diambil seperti perintah berkurung berskala besar dilaksana susulan peningkatan kes COVID-19 di negara itu.
Ujarnya, kerajaan Indonesia masih teragak-agak untuk mengenakan penutupan penuh meskipun sedar dengan peningkatan kes yang ketara sejak sambutan Aidilfitri yang lalu.
"Sekatan skala mikro aktiviti awam (PPKM Mikro) tidak cukup untuk menyekat jangkitan, yang hanya meningkatkan kadar kematian di negeri itu sejak beberapa hari lalu.
"Langkah yang sepatutnya sekarang adalah penutupan penuh," katanya kepada media tempatan.
Senada dengan beliau adalah Gabenor Jakarta, Anies Baswedan.
"Bagaimanapun, pemimpin negeri atau wilayah tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan sekatan lebih tegas lagi meluas.
"Ini kerana undang-undang memperuntukkan hanya Menteri Kesihatan boleh melaksanakan sekatan sedemikian manakala Menteri Dalam Negeri berkuasa melanjutkan PPKM," jelasnya.
Dalam perkembangan COVID-19, Indonesia merekodkan 13,737 kes baharunya. Ia adalah merupakan antara angka yang tertinggi dicatatkan sejak empat hari yang lalu.
#pandemik #COVID-19 #Joko Widodo #Presiden Indonesia #Jokowi #penutupan penuh
;