Jokowi dijangka adakan rombakan kabinet hari ini
Astro Awani
Ogos 18, 2024 07:00 MYT
Ogos 18, 2024 07:00 MYT
JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo dijangka membuat rombakan kabinet hari ini.
Menurut media tempatan, terdapat tiga orang menteri dan ketua badan kerajaan yang akan dilantik pada 9 pagi waktu tempatan.
Antara nama dalam kabinet Indonesia Maju yang dikatakan bakal digantikan adalah Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia (HAM) Yasonna Laoly dan bakal digantikan oleh ahli politik Parti Gerindra, Supratman Andi Agtas.
Supratman adalah ahli Dewan Perwakilan Rakyat bagi tempoh 2019-2024.
Sementara itu Bahlil Lahadalia dijangka akan menjawat jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral menggantikan Arifin Tasrif, manakala jawatan Bahlil sebagai Menteri Pelaburan akan digantikan oleh Rosan Roeslani yang merupakan pengerusi pasukan kempen kebangsaan bagi Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka pada Pilihan Raya Presiden 2024.
Dalam pada itu media tempatan melaporkan jurucakap Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), Chico Hakim mengatakan rombakan kabinet adalah hak Presiden.
Rombakan kabinet tersebut berlaku ketika masa-masa terakhir Jokowi menjawat jawatan Presiden.
Jokowi sebelum ini menzahirkan keyakinan beliau terhadap masa depan negara republik itu di bawah Presiden Terpilih Prabowo Subianto.
Beliau berharap kejayaan dan bimbingan berterusan untuk Indonesia melangkah ke hadapan bagi mencapai visi Indonesia Emas 2045.
Prabowo Subianto bersama regunya, Gibran Rakabuming Raka, akan memegang jawatan pada 20 Oktober 2024.