Jokowi dijadual lawat Malaysia 5 Feb ini
Bernama
Januari 13, 2015 19:30 MYT
Januari 13, 2015 19:30 MYT
Malaysia diberi penghormatan oleh Republik Indonesia apabila Presiden Jokowi memilih negara itu sebagai yang pertama untuk lawatan rasmi luar negaranya.
Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi akan berada di Malaysia selama dua hari bermula 5 Feb depan sebelum dijadual melawat negara Brunei Darussalam.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata dalam lawatan rasmi berkenaan, Presiden Indonesia itu dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Presiden Jokowi juga dijadual melawat kilang Proton setelah Datuk Seri Najib pernah membangkitkan cadangan mengenai projek kereta Asean dalam pertemuannya ketika Jokowi mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia hujung tahun lepas," katanya kepada wartawan di sini hari ini.
Jokowi setakat ini belum mengadakan sebarang lawatan rasmi ke luar negara sejak beliau dilantik sebagai Presiden yang baharu pada Pemilihan Umum tahun lepas kecuali menghadiri persidangan-persidangan antarabangsa termasuk Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Beijing pada November lepas.
Dalam perkembangan lain, Zahrain mengingatkan golongan nelayan dari Malaysia agar tidak sekali-kali menceroboh masuk ke kawasan perairan Indonesia ekoran penguatkuasaan undang-undang yang lebih serius sekarang.
Katanya tindakan pihak berkuasa Indonesia yang menenggelamkan bot-bot nelayan Malaysia kerana menceroboh kawasan perairan negara itu adalah di bawahbidang kuasa mereka dan ia menunjukkan keseriusan kerajaan negara itu dalam melaksanakan undang-undang serta menjaga kedaulatan negara mereka.
"Sama seperti di Malaysia, kita juga mengambil tindakan terhadap mana-mana bot asing yang menceroboh kawasan peraiaran negara dan mengambil tindakan undang-undang," kata beliau.
Beliau berkata isu mengambil tindakan terhadap bot dan nelayan yang menceroboh tidak seharusnya disensasikan media kerana ia adalah perkara biasa selagi pihak berkuasa sesebuah negara bertindak mengikut lunas undang-undang masing-masing.
Zahrain bagaimanapun meminta pihak berkuasa Indonesia agar menghubungi pihak kedutaan terlebih dahulu sebelum sesuatu tindakan diambil kerana ia adalah prosedur biasa supaya pihak kedutaan mendapat maklumat mengenainya.
Dalam kejadian tiga hari lepas, polis Indonesia bertindak menenggelamkan sebuah kapal nelayan milik rakyat Malaysia kerana didapati menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di kawasan perairan Pandan Islet, Sumatera Utara.
Laman web Jakarta Post melaporkan kapal berkenaan yang menggunakan nombor pendaftaran PKFA 7738 diletupkan dengan menggunakan dinamit.
Sebelum ini, pihak berkuasa Pulau Riau bertindak membakar beberapa buah kapal nelayan haram yang memasuki perairan Indonesia untuk menangkap ikan.
#Brunei Darussalam
#Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim
#Duta Malaysia ke Indonesia
#Jokowi
#Malaysia
#Republik Indonesia