Jokowi diberi penghormatan tertinggi pemerintah Palestin

Bernama
Ogos 19, 2024 18:00 MYT
Anugerah "Grand Collar Order of the State of Palestine'' disampaikan oleh utusan khas Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Riyad Al Maliki kepada Joko Widodo atau Jokowi dalam satu majlis di Istana Merdeka di sini, pada Isnin. - Gambar/ Bernama
JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo dianugerahkan penghormatan tertinggi daripada pemerintah Palestin di atas usaha beliau mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara dan sokongan berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk kemerdekaan.
Anugerah "Grand Collar Order of the State of Palestine'' disampaikan oleh utusan khas Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Riyad Al Maliki kepada Joko Widodo atau Jokowi dalam satu majlis di Istana Merdeka di sini, pada Isnin.
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata penganugerahan kepada Jokowi mengiktiraf sokongan berterusan Indonesia terhadap kemerdekaan Palestin dan peranan aktif negaranya dalam mempromosikan perjanjian gencatan senjata, bantuan kemanusiaan, dan penyelesaian dua negara.
Dalam pertemuan itu, Jokowi mengulangi komitmen Indonesia untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dan keahlian penuh untuk Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Indonesia akan terus berusaha berhubung dengan negara anggota PBB untuk mengiktiraf Palestin," kata Retno di sidang media.
-- BERNAMA
#Joko Widodo #Palestin #anugerah tertinggi #Grand Collar Order of the State of Palestine