Jokowi atau Prabowo... siapa yang menang Pilpres sebenarnya?

Saharudin Musthafa
April 17, 2019 23:40 MYT
Siapakah yang sebenarnya meraih kemenangan dalam Pilpres 2019, Jokowi (kiri) atau Prabowo? - Gambar fail/Sinar Harian
SIAPAKAH yang sebenarnya meraih kemenangan dalam Pemilihan Presiden (Pilpres) 2019 yang berlangsung di Indonesia pada Rabu?
Calon presiden nombor dua, Prabowo Subianto dengan penuh yakin mengumumkan bahawa kem beliau dan Sandiaga Uno mengungguli keputusan Pilpres dalam proses Pemilihan Umum (Pemilu) dengan meraih 62 peratus hasil undian rakyat.
Dalam masa sama, keputusan hasil kiraan pantas (quick count) yang dibuat oleh lembaga-lembaga yang berdaftar dengan Komisi Pemilihan Umum (KPU) pula mendapati pasangan calon presiden nombor satu, Joko Widodo (Jokowi) dan Ma’aruf Amin sedang mendahului keputusan Pilpres.
Prabowo yang juga bekas jeneral tentera Indonesia dalam pidatonya di hadapan penyokong-penyokongnya mendakwa, kiraan tepat daripada lebih 320 pusat mengundi meletakkannya di kedudukan teratas berbanding Jokowi.
Dakwaan itu bukan kali pertama dilakukannya kerana ketika bertanding pada Pilpres 2014, tindakan sama dilakukan beliau yang akhirnya menyaksikan beliau gagal.
Keyakinan itu dibuat Prabowo selepas diyakini oleh penganalisa-penganalisa statistik bahawa ‘angka sebenar’ atau keputusan undian rasmi yang akan diperoleh kelak tidak akan jauh beza dengan kiraan pantas yang dilakukan.
“Kita akan mengelak daripada mengambil tindakan-tindakan yang bertentangan dengan hukum kerana kita sudahpun meraih kemenangan.
“Saya kini dan selamanya akan menjadi presiden bagi rakyat Indonesia. Kepada penyokong-penyokong Jokowi pula, saya akan sentiasa menghargai anda semua,” kata Prabowo dalam ucapan di hadapan penyokong-penyokong beliau di kediamannya di Jakarta Selatan sejam lalu.
Sehingga pukul 10.30 malam (waktu tempatan), data-data yang diumumkan oleh lembaga-lembaga yang mengadakan kiraan pantas menunjukkan kem Jokowi kini mendahului Pilpres.
Jokowi pada petang Rabu memberi ucapan membayangkan beliau sudah hampir untuk meneruskan tugas pada penggal kedua sebagai Presiden Indonesia.
Bagaimanapun, Jokowi meminta penyokong-penyokongnya bersabar sehingga keputusan rasmi diumumkan oleh KPU.
Pemilu Indonesia yang berlangsung pada Rabu menjadi tumpuan antarabangsa kerana proses demokrasi di negara ini merupakan yang ketiga terbesar di dunia selepas India dan Amerika Syarikat.
Indonesia mencatat jumlah pengundi berdaftar sebanyak 192 juta daripada populasinya yang seramai 269 juta orang.
#Joko Widodo #Jokowi #Komisi Pemilihan Umum #pemilihan presiden #Pemilihan Presiden Indonesia #Pemilihan Umum #Pemilu #Pilpres 2019 #Prabowo Subianto
;