Joko Widodo terima suntikan penggalak kedua guna vaksin COVID-19 buatan tempatan
Bernama
November 25, 2022 08:50 MYT
November 25, 2022 08:50 MYT
JAKARTA: Presiden Joko Widodo menerima suntikan vaksin penggalak COVID-19 kedua hasil keluaran tempatan, IndoVac di kediaman presiden di Bogor pada Khamis.
Vaksin yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal milik kerajaan Bio Farma dan Baylor College of Medicine yang berpangkalan di Texas mendapat kelulusan agensi makanan dan ubat Indonesia untuk kegunaan kecemasan pada 28 Sept.
Joko Widodo menggesa orang ramai terutamanya petugas kesihatan dan warga emas untuk mendapatkan suntikan bagi mewujudkan imuniti kelompok dan mencegah penularan virus.
Indonesia memulakan program vaksinasi pada Januari 2021, dan hampir 205 juta rakyatnya menerima dos pertama setakat ini, manakala 172 juta orang telah lengkap dua dos vaksin.
Kira-kira 66 juta orang menerima suntikan penggalak atau dos ketiga manakala 730,000 telah menerima dos keempat, katanya selepas menerima suntikan itu, menurut kenyataan media.
Pasukan Petugas Pengendalian COVID-19 negara melaporkan 7,221 kes baharu direkodkan pada Rabu, menjadikan jumlah keseluruhan kes di seluruh nusantara mencecah 6.63 juta.
Sekurang-kurangnya 51 orang meninggal dunia akibat wabak berkenaan, menjadikan jumlah kematian setakat ini 159,524 dan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 6.40 juta.
Data menunjukkan 84 peratus kematian atau 74 peratus individu yang dirawat di hospital yang mengalami simptom sederhana dan teruk tidak mendapatkan suntikan vaksin, kata Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin.
-- BERNAMA