Johnson ikrar akan lakukan segalanya bawa rakyat UK keluar dari Afghanistan
Astro Awani
Ogos 27, 2021 07:30 MYT
Ogos 27, 2021 07:30 MYT
LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson berikrar akan lakukan segala yang termampu bagi memindahkan baki warganya dari Afghanistan.
Komitmen ini dinyatakan ketika operasi pemindahan warganegara asing di Afghanistan bakal tamat dalam masa terdekat.
"Kita sudah memasuki waktu-waktu akhir operasi, akan ada mereka yang tidak berjaya, ada yang layak.
"Kami akan lakukan apa yang terdaya untuk membawa mereka keluar dalam fasa kedua. Namun buat masa ini adalah kritikal untuk pihak berkuasa Taliban memahami bahawa mereka perlu berunding dengan blok barat, dan ini akan menjamin laluan selamat buat mereka yang mahu meninggalkan negara itu," katanya.
Sehingga Jumaat hampir 14,000 warga UK dibawa keluar dari Kabul.
Johnson juga sifatkan operasi setakat ini berjalan lancar.
Beliau mendedahkan dua warga UK dan anak kepada seorang warga Britain antara yang maut dalam letupan di lapangan terbang Kabul pada Khamis.