Joe Biden semakin kecewa dengan sikap Benjamin Netanyahu

Agensi
Februari 12, 2024 07:30 MYT
Di luar pengetahuan umum, Presiden Amerika Syarikat (AS) ,Joe Biden sebetulnya semakin kecewa dengan rakan sejawatannya dari Israel, Benjamin Netanyahu. - Gambar AP
WASHINGTON: Di luar pengetahuan umum, Presiden Amerika Syarikat (AS) ,Joe Biden sebetulnya semakin kecewa dengan rakan sejawatannya dari Israel, Benjamin Netanyahu.
Kekecewaan Biden disuarakannya kepada barisan penasihat beliau dan beberapa pihak mengenai tindakan Perdana Menteri Israel mengabaikan nasihatnya dan menghalang usaha untuk mengurangkan krisis kemanusiaan di Gaza.
Setakat ini, Biden telah berhenti daripada mengkritik Netanyahu secara langsung di khalayak ramai.
Bagaimanapun, Biden semakin kritis terhadap taktik Israel sehingga mengeluarkan kenyataan minggu lalu yang beliau percaya kempen di Gaza "melampaui batas" iaitu antara kritikan paling tajamnya setakat ini terhadap kempen ketenteraan terhadap Hamas.
Secara peribadi, Biden lebih bersedia untuk menawarkan pandangan yang jujur mengenai Netanyahu, termasuk kekesalannya terhadap Netanyahu yang tidak mendengar nasihat AS untuk mengurangkan taktik ketenteraan di Gaza.
Dalam masa sama, beberapa pegawai beliau tertanya-tanya berapa lama lagi Biden akan bertahan daripada mengkritik Netanyahu ketika perang di Gaza dilihat tidak berkesudahan.
Ketegangan antara pentadbiran Biden dan kerajaan Netanyahu semakin memuncak sejak beberapa hari kebelakangan ini berikutan persediaan Israel untuk melakukan serangan darat di Rafah yang memaksa ribuan rakyat Palestin telah melarikan diri ke sana semasa perang.
Pegawai AS dan rakan sejawatan dari Israel menggangarkan terdapat 1.3 juta orang di Rafah ketika ini yang "tidak ada tempat untuk pergi."
Pentadbiran Biden pula sangat skeptikal dengan arahan dikeluarkan Netanyahu kepada tentera Israel untuk "mengusir penduduk" keluar dari Rafah sebelum tentera Israel masuk sesuatu yang wajar dilaksanakan.
"Kami telah memberikan pandangan dengan jelas bahawa operasi yang berlaku ketika ini bukanlah sesuatu yang kami boleh bayangkan," kata pegawai pentadbiran Biden itu lagi. - Agensi
#Perang Palestin-Israel #Joe Biden kecewa #Benjamin Netanyahu #krisis kemanusiaan
;