Jingga macam oren: Monyet 'luar biasa' dilahirkan di zoo Australia
Agensi
Oktober 5, 2019 12:39 MYT
Oktober 5, 2019 12:39 MYT
Seekor anak monyet luar biasa telah dilahirkan di sebuah zoo Australia minggu lalu.
Anak monyet spesies Francois' Langur dengan bulu berwarna jingga dilahirkan di zoo Taronga di Sydney namun belum diberi nama.
Sebelum ini haiwan terancam itu hanya boleh ditemui di China dan Vietnam. Haiwan itu terancam oleh pemburu dan juga kehilangan habitat akibat penceroboh ekoran pembangunan.
"Sukar untuk melihat spesies Francois' Langur di hutan, tetapi lebih sukar melihat bayi itu dilahirkan," kata penjaga zoo, Jane Marshall.
Bagaimanapun, bulu berwarna jingga yang cerah itu hanya bertahan beberapa minggu sebelum ia menjadi gelap kepada warna bulu asal seperti ibunya, Noel.
Terdapat kira-kira 3,000 ekor spesies itu yang masih tinggal.
"Tidak banyak orang tahu mengenai spesies Francois' Langur tetapi haiwan ini sangat cantik, bertenaga, tangkas dan pintar," tambah Marshall.
Sementara itu, monyet ini juga dikatakan mempunyai ciri-ciri perut besar, ekor panjang dan turut dipanggil monyet daun kerana suka makan daun. - Agensi