Jika 'Tuhan Hujan' bantu kita, maka misi ini akan selesai dengan cepat
Agensi
Julai 9, 2018 06:57 MYT
Julai 9, 2018 06:57 MYT
Lapan remaja yang terperangkap di gua Tham Luang, Thailand telah berjaya dikeluarkan dalam operasi mengeluarkan mangsa yang memasuki hari ketiga.
Baki empat remaja dan jurulatihnya, Ekaphol Chantawong kini terus bermalam untuk malam ke-17 di dalam gua berkenaan sementara menunggu operasi disambung hari ini.
Menurut ketua misi menyelamat, Narongsak Osottanakorn, kesemua empat mangsa yang berjaya dikeluarkan semalam telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Namun, apabila ditanya samada baki lima mangsa yang masih terperangkap di dalam gua berkenaan akan dikeluarkan dalam misi hari ini, beliau memberitahu ia bergantung kepada keadaan cuaca.
"Kami telah menetapkan perancangan untuk mengeluarkan empat mangsa, tetapi jika mahu mengeluarkan kesemuanya (pada masa sama) maka rancangan ini perlu diselaras semula," katanya ketika ditemui media pada Isnin.
Operasi mengeluarkan mangsa berdepan cabaran apabila hujan lebat menjadikan air deras terus memasuki gua berkenaan.
Tambah Narongsak, pasukan penyelamat mungkin memerlukan masa yang lebih panjang untuk mempersiapkan peralatan terutamanya untuk mengisi semula tong oksigen.
"Situasi ini bergantung kepada keadaan cuaca hari Selasa.
"Jika Tuhan Hujan bantu kita, maka kita boleh selesaikannya dengan cepat.
"Tetapi jika Tuhan Hujan tidak membantu, semestinya misi ini berdepan kesukaran," tambahnya.
Pada Isnin, Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha melawat operasi di gua berkenaan sebagai sokongan moral kepada pasukan penyelamat.
Beliau dalam kenyataan mahu kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi di tanah Thailand.
#air
#Ekaphol Chantawong
#Hospital
#mangsa
#Media
#menteri
#Narongsak Osottanakorn
#operasi
#Perdana Menteri
#remaja
#Thailand
#Tham Luang