Jika AS tak kotakan janji, Korea Utara mungkin ubah pendekatan hubungan luar

Astro Awani
Januari 2, 2019 01:40 MYT
Video diedar stesen penyiaran KRT menunjukkan Kim Jong Un menyampaikan ucapan sempena tahun baharu di Korea Utara, 1 Jan, 2019. (Foto AP)
Korea Utara mungkin akan mengubah pendekatan hubungan luarnya jika Amerika Syarikat terus menguatkuasakan sekatan ke atas negara itu.
Presiden Kim Jong-un mengeluarkan amaran itu dalam ucapan sempena tahun baharu pada Selasa, kira-kira 12 bulan selepas melaksanakan pemulihan hubungan baik diplomatik.
Jelas pemimpin Korea Utara itu dalam ucapan yang berlangsung selama 30 minit itu, ia pasti dilakukan jika Amerika Syarikat tidak mengotakan janji yang dibuat yang disaksikan seluruh negara.
Katanya, hubungan dengan Washington akan berjalan lebih lancar sekiranya AS sedikit sebanyak mahu bertolak ansur, sambil menambah, beliau sedia untuk bertemu dengan Presiden Donald Trump pada bila-bila masa.
"Saya akan berusaha ke arah mencapai hasil yang akan dialu-alukan oleh masyarakat antarabangsa," kata Jong-un mengenai kemungkinan mengadakan pertemuan kali kedua dengan Trump.
BACA: Kim Jong-un ajak Trump berjumpa lagi?
Tegasnya, Korea Utara tiada pilihan lain bagi melindungi kedaulatan dan kepentingan negaranya, sekiranya AS "salah tafsir kesabaran kami, membuat tuntutan yang berat sebelah dan terus mengenakan sekatan dan tekanan ke atas kami".
Pada Jun lalu, Jong-un bertemu Trump pada satu sidang kemuncak di Singapura.
#Amerika Syarikat #Donald Trump #Kim Jong-un #Korea Utara #pemimpin #Singapura