Jika Anak Krakatau meletus lagi, tiada lagi badak Jawa - Kajian

Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 29, 2018 05:22 MYT
Pegawai WWF pernah menyifatkan sekiranya badak Jawa (gambar) di taman negara itu musnah akibat gunung berapi atau tsunami, maka mungkin tidak lagi wujud spesies badak tersebut di dunia ini. Foto WWF
DI SEBALIK kerisauan letusan gunung berapi Anak Kratakau dan tsunami yang melanda Indonesia baru-baru ini mampu mengancam nyawa manusia, ada sisi cerita menarik membabitkan badak Jawa.
Tidak ramai yang mengetahui bahawa di dalam dunia ketika ini terdapat tidak sampai 60 ekor badak Jawa yang direkodkan masih hidup dan kebanyakannya menghuni Taman Negara Ujung Kulon yang terletak di daerah Pandeglang, wilayah Banten, Pulau Jawa.
Taman nasional tertua di Indonesia itu, diisytihar salah satu Warisan Dunia yang dilindungi UNESCO pada 1991, telah turut menjadi mangsa tsunami Selat Sunda 22 Disember lalu.
Namun, haiwan ini bernasib baik apabila dilaporkan masih selamat selepas bencana yang mengorbankan lebih 400 nyawa itu.
Dua daripada pegawai Taman Negara Ujung Kulon merupakan antara mangsa yang terkorban akibat tsunami tersebut.
Namun, sekiranya terjadi letusan seterusnya oleh gunung berapi Anak Kratakau dan ia menghasilkan tsunami dalam skala yang sangat besar seperti yang diramalkan pakar, berkemungkinan besar manusia tidak akan lagi dapat melihat spesies badak Jawa itu.
Satu kajian yang pernah dikeluarkan dalam Surat Konservasi sebelum ini juga menyebut letusan gunung berapi berkenaan sangat meletakkan badak itu dalam risiko yang tinggi.
Seorang pegawai WWF, Nicola Loweth, pernah menyifatkan sekiranya badak Jawa di taman negara itu musnah akibat gunung berapi atau tsunami, maka mungkin tidak lagi wujud spesies badak tersebut di dunia ini.
“Oleh kerana tidak ada penangkapan badak Jawa direkodkan di mana-mana di seluruh dunia, sekiranya kita kehilangan populasi ini (badak Jawa di Taman Negara Ujung Kulon), pada dasarnya kita akan kehilangannya di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan kira-kira setahun yang lalu.
#anak #badak jawa #gunung berapi #haiwan #hilang #krakatau #mangsa #mati #pupus #Taman Negara #tsunami #zoo
;