Jet pejuang Vietnam hilang dari radar di Laut China Selatan

Agensi
Jun 14, 2016 21:08 MYT
Pesawat Sukhoi SU-30 yang hilang itu adalah antara 30 buah yang dimiliki Vietnam. - Foto AFP
Sebuah jet pejuang Vietnam buatan Rusia dilaporkan hilang pada Selasa, selepas ia tidak dapat dikesan dalam radar sewaktu latihan penerbangan di perairan Laut China Selatan, kata jurucakap ketenteraan negara itu.
Reuters melaporkan, pesawat Sukhoi SU-30 MK2 itu sedang terbang dalam jarak 30 hingga 40 kilometer di luar pesisiran wilayah Nghe An yang berdekatan dengan Pulau Hainan, China sebelum ia hilang.
Sehubungan itu, latihan menggunakan pesawat daripada model yang sama telah dihentikan serta-merta, ujar Timbalan Ketua Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Kanan Vo Van Tuan.
“Kami belum menemui jet tersebut. Kami masih mencarinya,” ujarnya pada Reuters.
Insiden itu mengulang siri kejadian yang sama dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, antaranya melibatkan beberapa model helikopter yang usang.
Ia juga berlaku ketika Vietnam sedang mengukuhkan strategi pertahanan dan termasuk meningkatkan kemampuan ketenteraannya dalam sejak empat dekad.
Negara itu sedang memodenkan kemampuan pertahanannya, seiring kebangkitan tentera China serta ketegangan yang memuncak di Laut China Selatan melibatkan dakwaan kedua-dua negara acuan Komunis itu.
Pesawat pengebom SU-30 MK2 yang hilang itu adalah antara 30 buah yang digunakan Vietnam.
Pesawat pejuang adalah antara aset pembelian yang sedang dibincangkan oleh tentera Vietnam berikutan Amerika Syarikat (AS) telah menarik balik embargo urus niaga jualan senjata di negara itu.
AS dilihat mahu menjadikan bekas seterunya itu sebagai sekutu baharu di Asia.
#jet oejuang Vietnam #Laut China Selatan #pesawat pejuang hilang #Sukhoi
;