Jet pejuang Thailand terhempas pada pertunjukan udara kanak-kanak

Bernama
Januari 14, 2017 16:42 MYT
Orang ramai terutama ibu bapa yang membawa anak mereka menyaksikan pertunjukan udara itu, menjadi saksi kemalangan ngeri yang menyebabkan kebakaran dan asap hitam. -Bernama
Sebuah jet pejuang Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) 'JAS39 C Gripen' terhempas ketika pertunjukan udara untuk kanak-kanak berhampiran Lapangan Terbang Hatyai, yang mengorbankan juruterbangnya, hari ini.
Menurut RTAF, insiden yang mengorbankan Ketua Skuadron, Dilokrit Pattavee, 35, berlaku pada pukul 9.27 pagi waktu tempatan (10.27 waktu Malaysia) sewaktu penerbangan pertunjukan sempena sambutan Hari Kanak-Kanak.
Orang ramai terutama ibu bapa yang membawa anak mereka menyaksikan pertunjukan udara itu, menjadi saksi kemalangan ngeri yang menyebabkan kebakaran dan asap hitam.
Lapangan terbang itu kemudian ditutup dan semua penerbangan ke situ diarahkan ke Lapangan Terbang Krabi bagi membolehkan petugas keselamatan mengalihkan bangkai pesawat dan memulakan siasatan.
Pertunjukan udara itu turut dibatalkan.
Sementara itu, Ketua RTAF, ACM Jom Rungsawang dalam kenyataannya menyatakan kesedihan terhadap kejadian berkenaan dan mengarahkan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta-merta.
Perdana Menteri, Jen Prayut Chan-o-cha turut menyatakan simpatinya kepada keluarga juruterbang dan RTAF.
Beliau turut meminta semua anggota RTAF dan cawangan lain dalam angkatan tentera itu untuk mengambil langkah berhati-hati pada tahap tertinggi, kata jurucakap kerajaan, Mej Jen Weerachon Sukondhapatipak.
RTAF mempunyai 16 pesawat tempur pelbagai peranan Gripen buatan Sweden dan kebanyakan pesawat satu enjin itu ditempatkan di Pangkalan Udara Surat Thani, selatan Thailand.
Selain pesawat Gripen yang juga pesawat pejuang barisan hadapan, RTAF turut mempunyai pesawat F-16 Fighting Falcon buatan Amerika Syarikat dan pesawat pejuang yang lain. -- BERNAMA
#Dilokrit Pattavee #JAS39 C Gripen #jet pejuang #RTAF #Tentera Udara Diraja Thailand
;