Jet pejuang terhempas, Tentera Laut AS isytihar 2 kru hilang meninggal dunia

Bernama
Oktober 21, 2024 15:30 MYT
Jet EA-18G Growler itu terhempas di timur Gunung Rainier pada Selasa semasa penerbangan latihan rutin. - Gambar/ Boeing
WASHINGTON: Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) pada Ahad mengisytiharkan kematian dua kru yang hilang susulan nahas jet pejuang di kawasan pergunungan Washington awal minggu ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Dengan berat hati, kami berkongsi berita kehilangan dua anggota Zappers yang dikasihi.
"Keutamaan kami sekarang ialah menjaga keluarga juruterbang yang terkorban dan memastikan kesejahteraan anggota Tentera Laut dan komuniti Growler," kata Pegawai Memerintah Timothy Warburton.
Menurut Tentera Laut, jet EA-18G Growler itu terhempas di timur Gunung Rainier pada Selasa semasa penerbangan latihan rutin.
Pasukan penyelamat, termasuk sebuah helikopter Tentera Laut AS terlibat dalam usaha mencari kru dan lokasi nahas.
Pada Rabu, pegawai mengesahkan bahawa serpihan pesawat telah ditemukan pada ketinggian kira-kira 1,800 meter di kawasan terpencil yang curam dan dipenuhi hutan tebal.
"Kami berterima kasih atas kerjasama berterusan untuk menguruskan usaha mengeluarkan mayat kru terkorban dengan selamat," menurut kenyataan Tentera Laut.
--BERNAMA-dpa
#Amerika Syarikat #jet pejuang terhempas #tentera udara AS #nahas udara
;