Jet pejuang kejutkan orang ramai bangun sahur
Agensi
Mei 8, 2019 16:52 MYT
Mei 8, 2019 16:52 MYT
PERNAHKAH anda membayangkan jet pejuang akan menjadi penggera waktu atau 'alarm clock' untuk mengejutkan anda bangun sahur?
Itulah pengalaman yang akan dilalui oleh umat Islam di beberapa kota di Indonesia iaitu di Surabaya, Surakarta, Yogyakarta, Klaten dan Sragen.
Mereka berpeluang mendengar bunyi jet pejuang untuk mengejutkan mereka dari lena apabila Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) menerbangkan jet pejuang di ruang udara kota-kota berkenaan sekitar waktu sahur.
Sebetulnya, aktiviti menerbangkan jet pejuang itu bukanlah semata-mata untuk mengejutkan umat Islam untuk bangun bersahur yang disunatkan dalam ibadah puasa.
Sebaliknya, kegiatan itu juga dilakukan untuk menguji kemampuan juruterbang jet pejuang terbang pada waktu malam serta Subuh.
Menurut Ketua Jabatan Penerangan Umum AU, Kolonel Sus M Yuris, ujian penerbangan yang dilakukan pada waktu Subuh atau beberapa jam sebelum itu merupakan pilihan paling ideal diambil TNI AU.
Ini kerana, kata beliau, juruterbang-juruterbang jet pejuang yang berpuasa tidak dibenarkan menerbangankan pesawat selepas pukul 10 pagi.
"Pukul 10 pagi adalah batas waktu yang diberikan oleh pasukan perubatan untuk terbang di bulan puasa kerana lebih daripada waktu itu, kadar gula sudah menurun dan tidak fit untuk terbang kecuali (juruterbang) membatalkan puasa jika diperlukan," kata Yuris seperti dilaporkan portal berita Kompas.
Dalam keadaan berpuasa, selepas pukul 10 pagi, juruterbang jet pejuang tidak dibenarkan menerbangkan pesawat kecuali dalam situasi kecemasan dan membatalkan puasanya.
Sehubungan itu, penerbangan jet pejuang pada waktu sahur atau Subuh, kata Yuris, bukan sekadar menguji kemampuan juruterbang muslim yang berpuasa tetapi juga mengejutkan masyarakat bangun sahur.
"Jadi terbang pada waktu Subuh dan membangunkan masyarakat untuk sahur merupakan gabungan misi," ujar Yuris lagi.
Bagaimanapun, sehingga kini, Yuris belum dapat mengesahkan bila sesi latihan jet pejuang di ruang udara kota-kota itu akan dilaksanakan kerana idea itu masih dalam peringkat perbincangan.
"Sedang dibincang di peringkat dalaman dan akan kami maklumkan nanti," kata beliau sambil memberitahu ujian penerbangan pada waktu Subuh atau sahur pernah dilakukan TNI AU sejak beberapa tahun lalu pada bulan Ramadan.
Pihak TNI AU juga sedia maklumkan penerbangan jet pejuang pada waktu-waktu berkenaan akan mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat kerana bunyi yang dikeluarkan pesawat itu sangat bising.
#Indonesia
#Jet pejuang kejutkan orang ramai bangun sahur
#pesawat
#puasa
#Ramadan
#Surabaya
#surakarta
#tentera
#TNI AU
#Yogyakarta