Jet NATO pintas pesawat Rusia dekat ruang udara Estonia

Bernama
Mac 19, 2023 16:50 MYT
Operasi itu sebagai jaminan bahawa UK dan Jerman bersama sekutu NATO yang lain membantu sekutu Estonia mereka dalam tempoh yang tegang ini. - AP
LONDON: Buat kali kedua dalam tempoh seminggu, jet pejuang Britain dan Jerman memintas pesawat Rusia berhampiran ruang udara Estonia pada Jumaat ketika NATO menjalankan tugas kepolisan udara bersama di rantau itu.
Kedua-dua jet Typhoon itu memintas jet penumpang Tu-134 tentera Rusia, yang dikenali sebagai Crusty oleh NATO yang diiringi dua jet pejuang Sukhoi Su-27 Flanker, dan sebuah pesawat pengangkut tentera AN-12 Cub," lapor agensi Anadolu memetik kenyataan Tentera Udara Diraja (RAF) UK pada Sabtu.
Menurut RAF operasi itu sebagai jaminan bahawa UK dan Jerman bersama sekutu NATO yang lain membantu sekutu Estonia mereka dalam tempoh yang tegang ini.
"Kami segera mengenal pasti pesawat Rusia dan kemudian memantaunya ketika ia terbang berhampiran ruang udara NATO," kata komander RAF Richard Leask.
Misi Kepolisan Udara NATO dijalankan untuk memastikan pesawat yang mempunyai kepentingan, dipintas bagi mengekalkan keselamatan penerbangan untuk semua pengguna ruang udara.
RAF dikerahkan di Estonia untuk Operasi Azotize dan akan mengambil alih kepimpinan daripada unit tentera Jerman pada April.
-- BERNAMA
#jet pejuang #Rusia #NATO #kepolisan udara #estonia
;