Jerman tekad hapuskan komponen Huawei, ZTE dari rangkaian 5Gnya
Agensi
Ogos 25, 2023 11:20 MYT
Ogos 25, 2023 11:20 MYT
KUALA LUMPUR: Jerman tekad untuk menghapuskan sebarang sistem daripada rangkaian telekomunikasi 5Gnya yang mungkin boleh menimbulkan risiko sekuriti, termasuk dari syarikat telekomunikasi terkemuka China - Huawei dan ZTE.
Menteri Dalam Negeri Jerman, Nancy Faeser berkata, kerajaan tidak akan berganjak daripada membuat keputusan tersebut, biarpun ia akan menelan kos yang sangat tinggi.
Memetik laporan portal SCMP, kerajaan Jerman akan membuat penilaian dan audit menyeluruh terhadap rangkaian 5Gnya, bagi mengenal pasti sebarang komponen dari Huawei dan ZTE yang boleh menimbulkan risiko tersebut.
Faeser berkata, biarpun audit masih belum siap sepenuhnya, tetapi risiko mempunyai komponen teknologi China dalam rangkaian komunikasi mereka sudah ‘diketahui sejak sekian lamanya’.
“Perkhidmatan sekuriti kami sudah beberapa kali memberi amaran tentang kebergantungan yang berat sebelah dan saya merasakan penyedia perkhidmatan kami mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat penyelarasan semula,” katanya lagi.
Portal The Register melaporkan, pengumuman tersebut dianggap sesuatu yang drastik, memandangkan kerajaan Jerman pernah menolak tekanan dari Amerika Syarikat untuk mengeluarkan Huawei dari rangkaian telekomunikasinya, sambil menyatakan tiada sebarang bukti bahawa syarikat tersebut boleh mewujudkan masalah berkaitan sekuriti.
Media melaporkan, proses penggantian rangkaian telekomunikasi itu menelan kos yang sangat tinggi, dengan Huawei dikatakan bertanggungjawab untuk sekitar 60 peratus daripada keseluruhan peralatan rangkaian 5G Jerman.
Di United Kingdom, yang mempunyai jumlah kit Huawei yang lebih kecil, kos untuk penggantian dianggarkan sekitar 4 billion pound (RM23.4 bilion). - Agensi