Jerman perlu sedia hadapi ekonomi sukar dalam era Trump - Menteri Luar Jerman
Agensi
Januari 23, 2017 09:03 MYT
Januari 23, 2017 09:03 MYT
Jerman perlu bersiap sedia menhadapi tempoh yang sukar di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, kata Menteri Luar Jerman Frank-Walter Steinmeier pada Ahad, lapor Reuters.
Menurutnya, isu perdagangan bebas dan kerjasama trans-Atlantik untuk memerangi ektremisme dan keganasan adalah penting buat Berlin.
Steinmeier pada Ogos lalu pernah berkata bahawa Trump merupakan ‘Hassprediger’ atau ‘penyebar kebencian’.
Beliau juga dalam akhbar Bild mengeluarkan kenyataan bahawa beberapa anggota pentadbiran baharu AS juga memahami betapa pentingnya sekutu seperti Jerman.
"Saya tahu, kita perlu bersiap sedia untuk berdepan hari-hari mencabar, sukar diramal dan tidak pasti.
“Namun saya yakin kita akan mendapat pendengar yang baik di Washington, yang memahami betapa negara paling besar di dunia juga perlukan sahabat,” ujar Steinmeier.
Trump menggusarkan pemimpin-pemimpin Jerman dengan kenyataan bahawa Britain bukan menjadi negara terakhir untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), selain mengancam mengenakan tarif tinggi terhadap barangan import dari China dan Mexico.
Canselor Angela Merkel, yang menghadiri perasmian pembukaan muzium di Berlin sewaktu Trump mengangkat sumpah pada Jumaat, berkata beliau akan berkompromi dengan Trump tentang beberapa isu seperti perdagangan dan perbelanjaan ketenteraan.
Beliau juga akan berusaha untuk menjaga hubungan Eropah dan AS.
Naib Canselor Sigmar Gabriel pada Jumaat berkata, Jerman perlu bersedia menghadapi kesulitan selepas Trump berkuasa, selain Eropah perlu menyiapkan polisi ekonomi yang berpaksi kepada China sekiranya Trump mengamalkan ekonomi dasar tutup pintu.