Jerman bongkar platform pornografi terbesar dunia dengan 400,000 pengguna
Astro Awani
Mei 3, 2021 06:08 MYT
Mei 3, 2021 06:08 MYT
FRANKFURT: Pendakwa Raya Jerman pada Isnin membongkar satu platform dark web terbesar dunia yang menyediakan kandungan pornografi kanak-kanak.
Mahkamah Frankfurt, dalam satu kenyataan bersama pejabat polis jenayah persekutuan melaporkan, penahanan dilakukan terhadap tiga suspek warga Jerman yang dikatakan sebagai pengasas platform yang dinamakan "Boystown".
Penahanan turut dilakukan terhadap salah seorang suspek yang berada di Paraguay termasuk seorang pengguna platform itu.
Malah pihak berkuasa mendedahkan, pihaknya telah menggeledah tujuh bangunan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut pada pertengahan April lalu.
Lebih menggemparkan, dilaporkan lebih 400,000 ahli telah berdaftar dengan platform pornografi kanak-kanak tersebut.
Platform itu dijadikan sebagai satu ruangan untuk mereka saling berkongsi gambar dan video yang kebanyakannya melibatkan kanak-kanak lelaki dari seluruh dunia.
Jurucakap pendakwa raya Frankfurt, Dr Julia Bussweiler menjelaskan, pembongkaran jenayah keji itu adalah hasil kerjasama beberapa agensi siasatan.
Sebagai rekod, tiga suspek utama yang ditahan adalah lelaki berusia 40 tahun dari Paderborn, lelaki 49 tahun dari Munich dan lelaki 58 tahun dari utara Jerman yang telah tinggal di Paraguay selama bertahun-tahun.