Jerman bebas bekas pemimpin Catalonia dengan jaminan
Bernama
April 6, 2018 13:03 MYT
April 6, 2018 13:03 MYT
Bekas pemimpin Catalonia, Carles Puigdemont, akan dibebaskan dengan beberapa syarat, demikian putus sebuah mahkamah serantau di utara Jerman pada Khamis, lapor agensi berita China Xinhua.
Mahkamah di negeri Schleswig-Holstein telah mengenakan jaminan sebanyak 75,000 euro (US$91,917) ke atas Puigdemont namun berkata permintaan untuk ekstradisi tidak dibenar bagi dakwaan beliau melakukan pemberontakan.
Bagaimanapun, mahkamah itu berkata Jerman boleh, "secara teori," mengekstradisi Puigdemont ke Sepanyol atas dakwaan menyalah guna dana awam namun keputusan berhubung perkara tersebut belum dibuat.
Puigdemont, 55, yang menjadi Presiden Catalonia dari Januari 2016 hingga Oktober 2017, telah ditahan selepas memasuki Jerman melalui Denmark pada 25 Mac untuk ke kediamannya di Belgium.
Wartawan yang beralih angin ke arena politik itu menjadi pelarian selepas Catalonia gagal dalam percubaannya untuk memperoleh kemerdekaan dari Sepanyol pada Oktober 2017.
Pada Mac, Mahkamah Agung Sepanyol telah mengeluarkan waran tangkap untuk Puigdemont dan beberapa individu lain yang disyaki menjadi dalang di sebalik percubaan itu.
-- BERNAMA
#Bebas
#Carles Puigdemont
#Catalonia
#dana awam
#Denmark
#ekstradisi
#Jerman
#mahkamah
#salah guna
#sepanyol