Jerebu: Timbalan Menteri Alam Sekitar Indonesia sakit selepas bantu padam kebakaran hutan

Bernama
Oktober 5, 2023 20:03 MYT
Alue, 57, turun padang di kawasan yang dilanda kebakaran sejak Jumaat hingga Selasa, dan membantu memadamkan kebakaran di wilayah Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan. - Gambar/ IG alue_dohong
JAKARTA: Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Alue Dohong berdepan masalah kesihatan selepas turut terlibat dalam usaha memerangi kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan.
Alue, 57, turun padang di kawasan yang dilanda kebakaran sejak Jumaat hingga Selasa, dan membantu memadamkan kebakaran di wilayah Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.
"Badan saya menjadi letih, dan saya rebah. Malam tadi, saya ke hospital selepas mengalami sakit kepala, demam panas, sakit perut, dan batuk," tulisnya di akaun media sosial rasmi pada Rabu.
Doktor di Hospital Banjarbaru, Kalimantan Selatan, menyarankan agar Alue berehat dan memberi perhatian khusus kepada paru-parunya yang disyaki terjejas akibat menghidu asap tanah gambut secara berlebihan.
"Berdasarkan penilaian doktor, keadaannya dilaporkan stabil. Dia kini mendapat rawatan sebagai pesakit luar," menurut jurucakap hospital itu Eva, seperti dipetik portal berita Tribunnews.
Portal berita Kalselpos melaporkan bahawa kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Selatan yang berlarutan selama beberapa bulan terus merebak, menjejaskan lebih 24,000 hektar tanah.
Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa Banjarmasin telah memperuntukkan sekolah untuk sekolah melaksanakan pembelajaran jarak jauh selama empat hari sebagai tindak balas kepada jerebu.
-- BERNAMA
#jerebu #Indonesia #Timbalan Menteri #sakit
;