Jerebu: Semua sekolah di Singapura ditutup selepas PSI catat bacaan merbahaya
Agensi
September 24, 2015 23:51 MYT
September 24, 2015 23:51 MYT
Singapura pada Khamis mengarahkan sekolah ditutup akibat kualiti udara di Singapura dikategorikan merbahaya berikutan jerebu dari Sumatera, Indonesia, yang dibawa tiupan angin dari selatan dan barat daya.
Menteri Pendidikan Heng Swee Keat dalam satu laporan AFP berkata, penutupan pada Jumaat itu membabitkan semua sekolah rendah dan menengah dan juga tadika-tadika kerajaan termasuk sekolah pengajian khas.
Ibu bapa yang tidak dapat membuat perubahan alternatif pada saat akhir masih boleh menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan mereka akan diletakkan di bilik berhawa dingin,” kata Swee Keat dalam satu sidang media yang diadakan petang Khamis.
Keadaan jerebu yang semakin kritikal itu menyebabkan warga Singapura memilih untuk tinggal di rumah dan mengelakkan aktiviti di luar rumah.
AFP turut melaporkan Pizza Hut terpaksa menghentikan servis penghantarannya buat sementara waktu, kerana “keadaan merbahaya yang diakibatkan oleh jerebu.”
Agensi Persekitaran Nasional turut berkata, keadaan jerebu akan menjadi lebih kritikal kerana angin beritup kencang.
Bacaan indeks standard pencemaran (PSI) menunjukkan kualiti udara bertambah merosot dari ‘sangat tidak sihat’ pada awal petang sehingga mencapai tahap ‘merbahaya’.
Agensi cuaca itu turut menasihatkan warga yang sihat untuk mengelakkan aktiviti fizikal luar berpanjangan’ dan menasihatkan warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah.