Jerebu selubungi Bangkok dan 42 wilayah lain, catat indeks pencemaran udara tidak sihat

Bernama
Februari 3, 2023 23:21 MYT
Jerebu menyelubungi Bangkok dan 42 wilayah di Thailand pada Jumaat apabila skala PM2.5 direkodkan melebihi paras selamat iaitu 50 mikrogram setiap meter padu (ug/m3). - Foto REUTERS
BANGKOK: Jerebu menyelubungi Bangkok dan 42 wilayah di Thailand pada Jumaat apabila skala PM2.5 direkodkan melebihi paras selamat iaitu 50 mikrogram setiap meter padu (ug/m3).
Wilayah yang terjejas termasuk Nonthaburi, Samut Prakan, Ayutthaya, Buriram, Chiang Mai, Chiang Rai dan Chon Buri.
Setakat 6 petang (waktu tempatan) Jumaat, bacaan indeks kualiti udara (AQI) Bangkok direkodkan pada 152 pada IQAir, menurut platform penjejakan kualiti udara Switzerland.
Bacaan AQI melebihi 100 dianggap 'tidak sihat', manakala bacaan melebihi 200 adalah 'sangat tidak sihat' sementara tahap yang melebihi 300 dikategori sebagai 'berbahaya'.
Jabatan Kawalan Pencemaran menjelaskan, tahap pencemaran udara tidak sihat PM2.5 adalah disebabkan oleh pencemaran udara di atmosfera.
Orang ramai dinasihatkan untuk tinggal di dalam rumah dan mengurangkan aktiviti luar serta menggalakkan bekerja dari rumah.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan bahawa pencemaran udara akan berkurangan pada Sabtu.
-- BERNAMA
#jerebu #Bangkok #indeks pencemaran udara tidak sihat #Thailand
;