Jerebu paras bahaya: Delhi terpaksa haramkan lori masuk bandar raya selama tiga hari

Agensi
November 9, 2018 22:51 MYT
Penduduk di New Delhi dinasihatkan untuk berada di dalam bangunan dan perlu menggunakan topeng mulut dan hidung jika mahu keluar.
Pihak berkuasa Delhi menguatkuasakan larangan kemasukan lori selama tiga hari ke dalam bandar raya paling tercemar di dunia itu, lapor AFP.
Penguatkuasaan larangan itu dibuat setelah mengambil kira 20 juta penduduknya yang kini diselubungi jerebu bertoksik dalam musim dingin.
Dengan paras pencemaran udara dalam kategori ‘berbahaya’, larangan terhadap hampir 40,000 lori bersaiz sederhana dan besar itu bermula pada Khamis (8 November).
Kementerian Pengangkuitan negara itu berkata, kenderaan yang membawa makanan atau barangan keperluan lain adalah dikecualikan, sementara pemilik kenderaan SUV dengan bahan api diesel dirayu supaya meninggalkan kenderaan mereka di rumah.
Kualiti udara di Delhi semakin buruk pada musim sejuk, kerana kepulan asap dari aktiviti pembakaran di ladang memasuki zon bandar raya dan bercampur pula dengan pelepasan asap industri serta trafik.
Ia sekali gus membentuk gabungan jerebu yang sangat beracun.
Pada Rabu malam, warga Delhi mengetepikan perintah mahkamah dengan membakar bunga api sewenang-wenangnya sempena sambutan Diwali, dan secara tidak langsung meningkatkan lagi kesan pencemaran udara.
Pada Jumaat, paras partikel dengan diameter 2.5 mikrometer ke bawah, iaitu yang paling berbahaya kepada kesihatan manusia, meningkat sehingga bacaan 845.
Bacaan ‘berbahaya’ itu adalah kira-kira 33 kali ganda lebih tinggi berbanding had selamat iaitu 25, yang digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Penduduk bandar raya itu dinasihatkan untuk berada di dalam bangunan dan perlu menggunakan topeng mulut dan hidung jika mahu keluar.
Kenderaan di Delhi menyumbang kira-kira 20 peratus daripada partikel kecil dalam udara, yang boleh memasuki salur darah manusia seterusnya dikaitkan dengan penyakit bronkitis, kanser paru-paru dan sakit jantung.
#India #jerebu #New Delhi #pencemaran udara
;