Jerebu: Netizen Singapura mahu pihak berkuasa Indonesia ambil tindakan
Syafique Shuib
September 24, 2015 18:00 MYT
September 24, 2015 18:00 MYT
Dengan kualiti udara di Singapura dikategorikan 'sangat tidak sihat', penduduk di Republik itu menggesa pihak Indonesia untuk mengambil tindakan sejawarnya dengan serta-merta.
Ketidakpuasan ini disuarakan oleh netizen Singapura setelah indeks standard pencemaran (PSI) berada dalam lingkungan 168 hingga 211 pada 11 pagi tadi.
Netizen Andrea Edwards menyeru Presiden Indonesia Joko Widodo untuk mengambil tindakan kerana rakyat Indonesia menderita dan penduduk Asia Tenggara tidak boleh bernafas.
Sebelum ini, Indonesia sekali lagi menolak tawaran Singapura yang mahu membantu usaha memadamkan kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu, apabila Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Siti Nurbaya Bakar memaklumkan Indonesia akan menangani situasi itu dengan caranya yang tersendiri.
Namun menurut portal berita ChannelNewsAsia.com, media Indonesia pada awal minggu lalu melaporkan bahawa Naib Presiden Jusuf Kalla telah meminta bantuan Singapura.
“Singapura boleh datang dan tangani jerebu ini memandangkan kesannya turut dirasai di Singapura. Kami juga tidak suka pada keadaan jerebu ini. Semua orang tidak suka dan kami sedang berusaha sedaya-upaya untuk mengawalnya,” ujar Jusuf dalam laporan tersebut.
Penolakan bantuan tersebut dipercayai dibuat selepas Indonesia meningkatkan usaha melawan kebakaran.