Jepun zahir kebimbangan mendalam terhadap situasi di Gaza
Astro Awani
Oktober 8, 2024 09:00 MYT
Oktober 8, 2024 09:00 MYT
TOKYO: Jepun menzahirkan kebimbangan dan keprihatinan mendalam terrhadap situasi kemanusiaan yang meruncing di Gaza.
Menteri Luar Negerinya Takeshi Iwaya berkata, kebimbangan itu didorong oleh jumlah signifikan korban awam perang serta ketidakstabilan yang dihadapi warga Palestin.
Kata Iwaya lagi, Jepun turut bimbang dengan ketegangan yang semakin memuncak di luar Israel dan Semenanjung Gaza di seluruh rantau Asia Barat, termasuk di Tebing Barat, Lubnan, Laut Merah, Teluk Aden dan Iran.
Bagaimanapun, Jepun dengan tegas mengecam serangan yang kononnya dipimpin Hamas ke atas Israel setahun lalu.
Katanya lagi, Jepun secara konsisten mengecam serangan Hamas dan pihak lain serta menggesa pembebasan segera semua tebusan yang masih ditahan.
Dalam perkembangan berasingan, polis Tokyo pada Isnin bertindak menyuraikan penunjuk perasaan berhampiran kedutaan Israel.
Dalam hantaran video di X, pasukan keselamatan Jepun dan penunjuk perasaan yang berkumpul bertelagah di hadapan kedutaan Israel di Tokyo bagi membantah serangan ke atas Gaza.
Rakaman yang disahkan Al Jazeera itu memperlihatkan pihak polis cuba mengalih penunjuk perasaan secara paksa dari kawasan kedutaan.
Bagaimanapun, penunjuk perasaan enggan berganjak, sebaliknya melaungkan slogan pro-Palestin yang menyeru agar genosid dihentikan dan kebebasan untuk Gaza.