Jepun yakin Gunung Fuji dipilih sebagai warisan dunia

Astro Awani
Jun 20, 2013 08:13 MYT
Delegasi Jepun yang menghadiri Persidangan Warisan Dunia di Phnom Penh yakin Gunung Fuji akan dipilih sebagai salah satu daripada 32 tapak warisan dunia.
Gunung tertinggi Jepun itu bakal menjadi tapak warisan dunia ke 17 Jepun sekiranya cadangan mewartakannya diluluskan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu, Unesco.
Cadangan mewartakan Gunung Fuji itu dibuat oleh kerajaan Jepun kepada Unesco pada Januari 2012.
Majlis Antarabangsa Mengenai Monumen dan Tapak, iaitu panel penasihat Unesco kemudian mencadangkan pada April lalu supaya Gunung Fuji disenaraikan sebagai salah satu tapak warisan dunia.
Gunung Fuji yang memiliki ketinggian 3,776 meter memainkan peranan penting dalam kehidupan kebudayaan, seni dan agama di Jepun.
Keputusan rasmi mengenai cadangan itu dijangka diumum samada pada 22 atau 23 Jun ini semasa Persidangan Jawatankuasa Warisan dunia di Phnom Penh.
Selain Gunung Fuji, tapak lain yang mungkin akan diwartakan ialah Taman Negara di Gunung Himalaya, Gunung Tianshan di China dan Gunung Etna di Itali.
#Mount Fuji #Unesco #Warisan Dunia
;