Jepun umumkan bantuan AS$15.5 juta menentang keganasan di Asia Barat

AFP
Februari 17, 2015 17:35 MYT
Pengumuman daripada Shinzo Abe tersebut dipercayai merupakan lanjutan daripada insiden dua warganegaranya yang dibunuh oleh ektremis di wilayah kawalan IS. - Foto AFP
Jepun hari ini mengumumkan AS$15.5 juta (RM55.6 juta) untuk menentang ‘keganasan’ di Asia Barat dan Afrika, sebagai sebahagian usaha Tokyo menunjukkan penyelesaiannya terhadap pembunuhan dua warganya oleh ektremis Negara Islam (IS).
Nilai tersebut meningkat dua kali ganda daripada sejumlah AS$7.5 juta (RM26.9 juta) yang diikrarkan oleh Menteri Luar Fumio Kishida sewaktu melawat Brussels pada Januari lalu.
Kishida memberitahu, bantuan tersebut adalah sebahagian daripada sokongan Jepun dalam usaha memerangi keganasan di Asia Barat dan Afrika, termasuk kawalan sempadan, penyiasatan dan pembangunan sistem undang-undang.
Pengumuman tersebut adalah lanjutan daripada insiden dua warganegara Jepun yang dibunuh oleh ektremis di wilayah kawalan IS.
Lebih awal daripada itu, pada 17 Januari, Perdana Menteri Shinzo Abe pernah mengikrarkan sejumlah AS$200 juta (RM717.5 juta) untuk membantu golongan pelarian meninggalkan wilayah yang dikuasai IS.
Abe berkata, Jepun akan membantu mengekang IS dan wang tersebut adalah untuk negara-negara yang berdepan dengan ancamannya.
Beberapa hari kemudian, sebuah video yang menunjukkan sekumpulan lelaki bertopeng meminta jumlah yang sama sebagai wang tebusan bagi pembebasan dua warga Jepun yang ditahan.
Walau bagaimanapun, selepas beberapa minggu yang tegang, Abe berulang kali menyatakan ketegasan bahawa Jepun tidak akan tunduk pada permintaan pengganas.
Militan IS berkenaan kemudian mengubah fikiran untuk membebaskan seorang lagi tahanannya dari Jordan. Tokyo telah mendesak campur tangan dan tindakan dari Jordan namun militan IS akhirnya mengumumkan tentang pembunuhan dua warga Jepun itu bersama juruterbang Jordan tersebut.
#IS #Jepun #militan #negara Islam #pengganas
;