Jepun umum langkah keluar dari pandemik COVID-19

Agensi
Januari 20, 2023 16:10 MYT
Kerajaan Jepun mengumumkan rancangan persediaan untuk keluar dari kemelut COVID-19 dan menurunkan status sah jangkitan virus itu agar setara dengan influenza bermusim pada musim bunga. - Gambar fail/REUTERS
TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengumumkan rancangan persediaan untuk keluar dari kemelut COVID-19 dan menurunkan status sah jangkitan virus itu agar setara dengan influenza bermusim pada musim bunga.
Pengumuman itu sekali gus dijangka menyaksikan peraturan pemakaian pelitup muka, dan pengasingan diri dilonggarkan.
Langkah terbaharu kerajaan Jepun itu menyusul ketika negara matahari terbit itu merekodkan peningkatan kematian pesakit COVID-19 di kalangan warga emas pada gelombang kelapan pandemik.
Pada Khamis, sebanyak 96,392 kes COVID-19 direkodkan di Jepun dengan 451 kematian.
Rancangan kerajaan itu diumumkan hasil penelitian dan kajian oleh sekumpulan pakar dalam usaha menurunkan tahap COVID-19 ke kategori lima.
Ketika ini, Jepun berada dalam kategori kedua COVID-19 dan langkah ke arah kategori lima bakal menyaksikan semua peraturan yang dikenakan dibatalkan.
#COVID-19 #Fumio Kishida #Jepun #Perdana Menteri
;