Jepun umum kawalan eksport peralatan cip

Bernama
Mac 31, 2023 00:18 MYT
"Langkah ini bertujuan untuk menghalang pengalihan teknologi untuk kegunaan ketenteraan," kata Nishimura Yasutoshi. - Gambar fail/ REUTERS
ISTANBUL: Jepun akan mengenakan kawalan eksport ke atas peralatan pembuatan cip dan setiap produk yang dijual kepada China memerlukan kelulusan menteri.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Fumio Kishida memutuskan untuk mengetatkan kawalan eksport ke atas sekurang-kurangnya 23 barangan pembuatan semikonduktor berikutan peningkatan kebimbangan terhadap aspek keselamatan, lapor NHK.
Sehubungan itu eksport ke China atau destinasi lain yang tiada dalam senarai putih akan memerlukan kelulusan menteri perdagangan.
Kawalan baharu itu dijangka berkuat kuasa pada Julai.
"Langkah ini bertujuan untuk menghalang pengalihan teknologi untuk kegunaan ketenteraan," kata Menteri Perdagangan Jepun Nishimura Yasutoshi.
Jepun adalah antara pengeluar utama peralatan pembuatan cip, lapor Agensi Anadolu.
"Kami mahu melaksanakan tanggungjawab kami kepada masyarakat antarabangsa sebagai sebuah negara dengan teknologi canggih. Dan kami mahu menyumbang kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa," tambah Yasutoshi.
Keputusan Tokyo itu dilihat mengikut langkah AS yang turut mengenakan kawalan eksport cip ke China.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini,Washington telah mendapatkan kerjasama daripada Jepun dan Belanda dalam mengetatkan kawalan eksport ke atas teknologi pembuatan cip.
Awal bulan ini, kerajaan Belanda memaklumkan parlimen negara itu sedang mempertimbangkan sekatan baharu ke atas eksport teknologi semikonduktor untuk melindungi keselamatan negara.
Bagaimanapun, kerajaan Jepun mahupun Belanda tidak secara terbuka menamakan China sebagai sasaran kawalan eksport mereka.
-- BERNAMA
#Jepun #Parlimen #Fumio Kishida #pembuatan cip
;