Jepun tingkatkan bantuan perikanan tempatan kepada AS$700 juta susulan larangan import China

Bernama
September 5, 2023 08:52 MYT
Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida mencadangkan tambahan 20 bilion yen sebagai bantuan selepas China mengenakan larangan import makanan laut pada akhir Ogos. - Gambar fail
TOKYO: Kerajaan Jepun pada Selasa memutuskan untuk meningkatkan jumlah bantuan yang diberikan kepada perikanan Jepun kepada 100.7 bilion yen (AS$686 juta) berikutan larangan import makanan laut oleh China susulan pelepasan air radioaktif terawat daripada loji kuasa nuklear (NPP) Fukushima, lapor Sputnik.
Pada mulanya, kerajaan merancang untuk memperuntukkan 80 bilion sebelum permulaan pelepasan air.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida mencadangkan tambahan 20 bilion yen sebagai bantuan selepas China mengenakan larangan import makanan laut pada akhir Ogos.
Bantuan bernilai 100 bilion yen itu diluluskan pada mesyuarat Kabinet pada Selasa.
Langkah-langkah bantuan oleh kerajaan termasuk pengembangan penggunaan dan pengeluaran, pencegahan kerosakan reputasi, pencarian pasaran eksport baharu, dan pembangunan industri pemprosesan ikan, antara lain.
Pada 24 Ogos, Jepun mula mengalirkan air terawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik selepas mencairkannya dengan air laut.
Tokyo mendakwa telah membersihkan air daripada semua radionuklid kecuali tritium, yang masih dalam had yang boleh diterima.
Perbuatan itu mendapat tentangan kuat dari China dan negara lain di rantau ini.
Beijing menggelar air yang dilepaskan sebagai "tercemar" dan bertindak balas dengan menggantung import makanan laut dari Jepun.
Tokyo pula berikrar untuk menggunakan kaedah di bawah peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia untuk bertindak balas terhadap larangan itu.
--BERNAMA-SPUTNIK
#kerajaan Jepun #bantuan perikanan #air sisa nuklear #China