Jepun tidak akan tunduk pada pengganas, kata Shinzo Abe

AFP
Januari 21, 2015 02:47 MYT
Shinzo Abe berkata Jepun tidak akan tunduk pada kehendak mereka dan akan meneruskan janji asalnya untuk membawa bantuan ke rantau tersebut. - Gambar fail
Kumpulan militan Negara Islam (IS) mengancam untuk membunuh dua tebusan warga Jepun dalam tempoh 72 jam jika tidak menerima wang tebusan berjumlah AS$200 juta. Ugutan tersebut disiarkan melalui sebuah rakaman video semalam.
Tokyo walau bagaimanapun, enggan tunduk kepada permintaan kumpulan pengganas tersebut.
Perdana Menteri Shinzo Abe, yang kini berada di Baitulmaqdis dalam lawatan rasmi ke Asia Barat, mendesak kumpulan militan itu segera membebaskan dua tebusan tersebut tanpa dicederakan.
Beliau ketika itu baru saja menghadiri mesyuarat dengan Presiden Palestin Mahmud Abbas bagi menangani krisis tersebut.
IS sehingga kini sudah membunuh lima tebusan dari negara Barat sejak Ogos tahun lalu, namun ini merupakan kali pertama mereka mengancam nyawa tahanan Jepun.
Dalam video yang disiarkan dalam laman web militan tersebut, anggota kumpulan berpakaian hitam yang berdiri di antara tebusan Kenji Goto dan Haruna Yukawa, dilihat mengacukan pisau dan menghalakannya ke kamera.
Bercakap dalam bahasa Inggeris loghat Amerika Selatan, militan tersebut mengatakan bahawa wang tebusan yang diminta adalah untuk bantuan bukan ketenteraan yang dijanjikan Abe bagi menyokong negara-negara tang terjejas dengan kempen menentang IS.
Namun Shinzo Abe berkata Jepun tidak akan tunduk pada kehendak mereka dan akan meneruskan janji asalnya untuk membawa bantuan kemanusiaan ke rantau tersebut.
“Saya meminta agar tebusan tidak dicederakan dan segera dibebaskan. Komuniti antarabangsa tidak akan bergerak di bawah telunjuk pengganas dan perlu dipastikan kita dapat bekerjasama,” kata Abe dalam sidang emdia di Baitulmaqdis.
#Baitulmaqdis #IS #Jepun #negara Islam #Shinzo Abe #tebusan