Jepun teruskan rancangan lepaskan sisa nuklear ke laut

Bernama
Julai 3, 2023 05:00 MYT
Tokyo akan membuat "keputusan menyeluruh mengenai tarikh pelepasan, mempertimbangkan pelbagai faktor dan memastikan keselamatan dan reputasi." - Foto Kyodo News via AP
ISTANBUL: Pelepasan air terawat dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi ke lautan pada musim panas ini akan diteruskan seperti yang dirancang, tetapi tarikh sebenar masih belum diputuskan, lapor Agensi Anadolu.
"Air yang dirawat akan dilepaskan ke lautan berdasarkan peraturan keselamatan," kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Matsuno Hirokazu.
Hirokazu berkata kerajaan Jepun "memperhebat usahanya untuk meningkatkan kesedaran tentang langkah keselamatan yang menyeluruh melalui mesej di kaca televisyen dan iklan dalam talian," menurut laporan NHK News.
Tokyo akan membuat "keputusan menyeluruh mengenai tarikh pelepasan, mempertimbangkan pelbagai faktor dan memastikan keselamatan dan reputasi."
Pelan pelepasan air Jepun yang diumumkan pada April 2021, menerima kritikan hebat daripada China, Korea Selatan, Korea Utara, Taiwan, dan organisasi antarabangsa, termasuk PBB, menurut laporan.
AS menyokong cadangan itu, selepas perbincangan bertahun-tahun mengenai lebih 1 juta tan air yang disimpan di kompleks nuklear Fukushima sejak bencana 2011.
Meskipun berdepan kritikan, pada bulan lepas Jepun memulakan suntikan air laut ke dalam terowong saliran di Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi, menandakan permulaan awal pelepasan air sisa radioaktif yang telah dirawat ke lautan.
-- BERNAMA
#pelepasan air terawat #sisa nuklear #Jepun #Fukushima Daiichi
;