Jepun salur air laut ke terowong pelepasan air sisa Fukushima
Bernama
Jun 6, 2023 06:50 MYT
Jun 6, 2023 06:50 MYT
TOKYO: Jepun mula menyalurkan air laut ke dalam terowong yang dibina untuk melepaskan air tercemar nuklear ke lautan daripada loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi yang musnah, Xinhua memetik laporan media tempatan pada Selasa.
Tokyo Electric Power Company (TEPCO), pengendali loji itu berkata proses itu bermula pada petang Isnin, menurut penyiar nasional NHK.
Walaupun rancangan Jepun untuk membuang air radioaktif ke laut berdepan tentangan hebat dari dalam dan luar negara, tindakan pada Isnin itu dibuat tanpa sebarang pengumuman awal.
Menurut TEPCO, terowong bawah laut itu yang strukturnya siap pada April dijangka diisi dengan kira-kira 6,000 tan air laut menjelang tengah hari Selasa. Setelah diisi dengan air, ia akan menyalurkan air tercemar nuklear dari loji ke satu titik kira-kira 1 km di luar pesisir.
Sistem pelepasan air hampir siap kecuali takungan yang akan menyimpan air tercemar sebelum dilepaskan, kata syarikat itu, sambil menambah bahawa ia merancang untuk menyelesaikan semua kerja pembinaan menjelang akhir bulan ini.
Tanpa menghiraukan ketidakpastian dan bahaya tentang bahan radioaktif seperti tritium di dalam air, Jepun dilihat terdesak menyegerakan pelepasan air tercemar ke lautan, mencetuskan bantahan daripada kumpulan sivik tempatan serta negara dan komuniti jiran di Kepulauan Pasifik.
Dilanda gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter diikuti tsunami pada 11 Mac 2011, loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi mengalami kerosakan teruk hingga menyebabkan ancaman radiasi, mengakibatkan kemalangan nuklear tahap-7, tertinggi dalam Skala Peristiwa Nuklear dan Radiologi Antarabangsa.
Loji itu menghasilkan sejumlah besar air tercemar dengan bahan radioaktif. Air sisa itu disimpan dalam kira-kira 1,000 tangki simpanan.
Pada April 2021, kerajaan Jepun mengumumkan rancangan kontroversinya untuk melepaskan air sisa ke Lautan Pasifik, dan berkata pada Januari tahun ini bahawa pelepasan akan bermula "pada musim bunga atau musim panas".
-- BERNAMA